SIARAN berita di televisyen Jepun menyiarkan gambar Goto dalam laporan kematian Haruna di Tokyo, semalam.
SIARAN berita di televisyen Jepun menyiarkan gambar Goto dalam laporan kematian Haruna di Tokyo, semalam.
Agensi

Tokyo

“Fikiran saya kosong sepenuhnya,” kata Shoichi Yukawa selepas mendengar berita anaknya, Haruna Yukawa, menemui ajal di mata pedang militan Negara Islam (IS).

Di sebalik perkhabaran sedih itu, Shoichi tetap berharap apa yang diberitahu kepadanya tidak lebih daripada berita palsu.

“Jauh di dasar hati, saya berharap kematian Haruna tidak benar,” katanya.

Dikenali sebagai seorang yang gemarkan cabaran dan mengembara, Haruna, 42, pergi ke Syria dengan harapan mendapat pekerjaan baru.

Dia dilaporkan menghadapi masalah kewangan, kehilangan isteri akibat kanser dan pernah cuba membunuh diri.

Haruna diculik di Aleppo, Syria pada Ogos tahun lalu.

Penangkapan Haruna mendorong sahabatnya - seorang wartawan perang - Kenji Goto, pergi sekali lagi ke negara bergolak itu dengan harapan dapat menyelamatkan lelaki terbabit.

Ikatan persahabatan itu akhirnya membawa kedua-dua mereka menjadi mangsa tebusan IS.

Militan menuntut Jepun membayar wang tebusan bernilai AS$200 juta (RM720.5) serta membebaskan seorang pengebom berani mati wanita, Sajida al-Rishawi, yang kini dipenjara di Amman, Jordan.

Semalam, IS menerbitkan rakaman video menunjukkan mayat Haruna terbaring dengan kepala terputus selepas tempoh diberikan untuk Tokyo bertindak, berakhir.

Walaupun sehingga petang semalam kesahihan video itu belum diputuskan, Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe berkata, kemungkinan besar ia adalah asli.

Abe juga menuntut Goto, 47, dibebaskan tanpa syarat.

Meminta wajahnya tidak didedahkan, Shoichi berkata, dia memohon maaf atas kesukaran dialami Jepun.

Katanya, dia juga berharap Goto dapat memaafkan anaknya kerana membabitkan wartawan itu dalam konflik berkenaan.

“Saya sangat sedih memikirkan bagaimana Goto sanggup memperjudikan nyawa sendiri ke Syria demi Haruna.

“Semoga Goto kembali dengan selamat secepat mungkin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 5:08 AM