ABE (tengah) dan ahli Parlimen partinya bersorak selepas membubarkan Parlimen, semalam. - Reuters
ABE (tengah) dan ahli Parlimen partinya bersorak selepas membubarkan Parlimen, semalam. - Reuters
AFP

Tokyo: Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe semalam secara rasmi membubarkan Parlimen, seterusnya memulakan kempen pilihan raya umum yang bakal melihatnya berentap dengan cabaran hebat daripada gabenor popular Tokyo.

Anggota Dewan Rendah menyambut pengumuman itu dengan mengangkat tangan dan melaungkan sorakan ‘banzai’ tiga kali selepas Speaker membacakan kenyataan Abe.

Penduduk di negara ekonomi ketiga terbesar dunia itu akan mula mengundi pada 22 Oktober depan, dalam usaha Abe mendapatkan mandat baru untuk menangani isunya dengan Korea Utara dan pelan cukai baru.

“Pertempuran sukar bermula hari ini. Pilihan raya kali ini mengenai bagaimana untuk melindungi nyawa penduduk.

“Kita perlu bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk berdepan ancaman Korea Utara.

“Kita perlu melawan untuk masa depan anak-anak kita,” katanya.

Abe turut meminta sokongan orang ramai dalam usahanya menangani Korea Utara yang mengancam mahu ‘menenggelamkan’ Jepun ke dalam laut, selain melepaskan peluru berpandu ke ruang udara Hokkaido dua kali, bulan lalu.

Abe mengejutkan penduduk Jepun Isnin lalu selepas mengumumkan pilihan raya awal, yang dilihat cubaan untuk mengambil kesempatan terhadap pembangkang yang lemah bagi mengaut undi, susulan pengundi nampaknya menerima pendirian agresifnya terhadap Korea Utara.

Bagaimanapun, Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, 65, baru-baru ini mencuri tumpuan dengan Parti Harapan baru yang dilancarnya, bertujuan merombak keadaan politik yang lemah di negara ini.

Parti baru Yuriko itu yang diumumkan secara rasmi kelmarin menarik ahli Parlimen daripada pelbagai latar belakang yang mampu menyatukan pengundi pembangkang terhadap Abe.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 September 2017 @ 10:01 AM