NAMANZEE, Penolong Naib Presiden Pengurus Saluran Astro Prima Farah Zainul, Hattan, Siti Hajar dan Ayai.
NAMANZEE, Penolong Naib Presiden Pengurus Saluran Astro Prima Farah Zainul, Hattan, Siti Hajar dan Ayai.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Selepas Arip muncul juara dalam Kilauan Emas musim keempat tahun lalu, Astro Prima meneruskan lagi misi pencarian 'Otai Masih Berbisa' di Sabah, Sarawak, Pahang, Johor, Pulau Pinang dan Selangor bagi musim baru program realiti diminati ramai ini.

Bagi musim kelimanya, Kilauan Emas dilihat lebih gaj apabila membawa masuk empat nama besar iaitu Datuk Hattan, Ayai Ilusi, Siti Hajar dan Syafizawati Sharif (Cikgu Syafi) sebagai juri tetap di setiap lokasi uji bakat bermula 31 Januari ini.

Bagaimanapun, dapat dilihat peserta lelaki mendominasi program realiti ini apabila muncul pemenang untuk setiap musim. Justeru, kali ini Astro bercadang mahu mencungkil penyertaan lebih ramai peserta wanita untuk diseimbangkan dengan peserta lelaki.

Ketua Program Realiti & Format Astro Namanzee Harris berkata, pihaknya membuka peluang sama rata kepada kedua-dua jantina untuk bersaing. Bagaimanapun peserta wanita mempunyai kelemahan dari sudut emosi dan hilang kekuatan mental menjadi penyebab mereka gagal bersaing.

"Melihat sambutan luar biasa yang diterima musim lalu, kami tidak teragak-agak membuat keputusan membawakan semula pertandingan nyanyian yang mengangkat bakat golongan 'otai' ini.

"Walaupun ini adalah tahun kelima pertandingan dianjurkan, kami percaya program ini masih relevan dan diminati ramai hingga ke hari ini. Namun kami melihat kurangnya penyertaan peserta wanita dalam program ini dan misi kali ini ialah mencari lebih ramai peserta wanita yang berkualiti.

"Kami sememangnya fokus pada wanita tapi mereka susah nak sahut cabaran berbanding peserta lelaki. Mereka hadir uji bakat dan selepas terpilih menarik diri kerana tak tahan dengan latihan yang diberikan serta cepat beremosi," katanya.

Siti Hajar pula menyifatkan peserta wanita tidak kurang hebatnya berbanding lelaki, namun gagal menyerlah kerana sikap negatif sendiri.

"Saya sememangnya harapkan kualiti daripadda peserta wanita. Sebenar­nya mereka pun tak kurang hebatnya tapi mereka susah nak kawal emosi. Apabila tertekan sikit mulalah tak boleh siapkan tugasan yang diberikan.

"Saya faham kita semua manusia. Bukanlah peserta wanita tak boleh menyanyi tapi sikap mereka itu yang susah. Alasan mereka lagu tak sesuailah. Ia sangat berbeza dengan peserta lelaki yang berani ambil cabaran dan mencuba," katanya.

Program ini masih mengekalkan format asal yang terbuka kepada warganegara Malaysia dan Singapura serta berusia 40 tahun ke atas.

Namanzee turut menasihatkan peserta supaya hadir dalam keadaan bersedia dari segi mental dan fizikal untuk meyakinkan barisan juri bahawa mereka layak untuk dibimbing dan diketengahkan.

Ditanya mengenai penyertaan bekas penyanyi 'senior' yang berminat untuk mencuba nasib sedangkan dalam masa sama sudah ada program Gegar Vaganza yang khusus untuk mereka, Namanzee berkata, mereka dibolehkan bertanding dengan kriteria tertentu.

"Kilauan Emas adalah medium bakat-bakat baru 'otai'. Kami fokus pada mereka yang belum pernah bergelar artis. Kami benarkan artis bertanding dengan syarat mereka tiada album terbaru dalam tempoh enam tahun.

"Tak dinafikan ketika uji bakat memang ada artis 'otai' yang cuba nasib tapi tak semuanya berjaya kerana mereka dinilai dengan ketat oleh barisan juri. Fokus kami ialah pada bakat-bakat yang tersembunyi," katanya.

Lokasi penganjuran Kilauan Emas musim keempat di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pernah mencetuskan kekecohan akibat tempat tidak mencukupi dan untuk kali ini pihaknya masih mencari lokasi yang sesuai.

"Kami sedar Kilauan Emas dapat sambutan hebat. Sekarang kami masih berbincang mengenai lokasi yang sesuai kerana tak mahu perkara dulu berlaku kembali.

"Bahkan kami juga merancang menyediakan kemudahan skrin gergasi di luar lokasi agar mereka yang gagal masuk dapat menonton. Kami sedang meneliti samada nak mengedarkan tiket secara percuma atau menjual kerana kalau beri percuma keadaannya tak terkawal.

"Ia berbeza dengan menjual kerana lebih mudah untuk mengawal penonton," katanya yang mahu memberikan lebih kepuasan kepada penonton tahun ini.

Uji bakat akan diadakan di enam lokasi seluruh negara bermula di 1Borneo Hypermall, Kota Kinabalu, Sabah pada 31 Januari ini dan The Hills Shopping Mall, Kuching, Sarawak (7 Februari).

Di Pahang uji bakat akan diadakan pada 21 Februari di Berjaya Megamall, Kuantan diikuti Berjaya Watarfront Mall, Johor (28 Februari), Megamal Pinang, Seberang Prai, Pulau Pinang (7 Mac) dan Summit USJ Shopping Complex, Subang Jaya, Selangor (14 dan 15 Mac).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 January 2015 @ 5:01 AM