MUSTAR berduet bersama Maria Bachok.
MUSTAR berduet bersama Maria Bachok.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Jika Kilauan Emas 4 menobatkan pembuat air, Omar Sharif Mat Din atau Arip sebagai juara dan bekas penyanyi, Md Zain Ramli (Ringgo) di tempat kedua, ulangan ‘skrip’ sama turut berlaku pada pentas Konsert Akhir Kilauan Emas 5 apabila kejuaraan diraih tukang kayu, Mustaffa Rasyid Abd Jabar atau Mustar, 47, dan meletakkan bekas penyanyi, Wan Muhammad Logan Wan Abdul atau Elji, 44, sebagai pemenang tempat kedua.

Ternyata tuah menyebelahi Mustar yang masuk menerusi pusingan ‘wild card’ dan akhirnya berjaya mengatasi peserta lain sehingga bergelar juara. Dia membawa pulang wang tunai RM100,000, motosikal sumbangan Royal Enfield bernilai RM50,000 dan kerusi urut sumbangan Go Shop beserta trofi.

Dia juga menerima bonus tambahan apabila diumumkan sebagai pemenang Anugerah Khas Juri dan membawa pulang RM10,000.

Penghayatan nyanyian yang jujur daripada hati serta gaya persembahan selamba yang ditambah dengan elemen lucu menjadi daya penarik buat peserta dari Sijangkang ini memenangi hati peminat.

Biarpun ada beberapa kesilapan terutama dari segi lirik, peminat dapat memaafkan Mustar dan tidak menganggap ia kesalahan besar.

Elji pula sudah memberikan cabaran terbaik, namun terpaksa berpuas hati apabila membawa pulang hadiah tunai berjumlah RM50,000, perkakas masakan sumbangan Go Shop berserta trofi.

Mursalim Muhidin (Aling), 44, menduduki tangga ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM30,000, perkakas memasak sumbangan Go Shop berserta trofi.

Peserta tunggal wanita konsert akhir, Hazlina Wati Zainuddin (Lina), 42, berada di tempat keempat dan membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi.

Ditemui pada sidang media, Mustar berkata, wang tunai berjumlah RM110,000 akan dikongsi bersama isteri, anak-anak dan peminat.

“Wang kemenangan ini akan disalurkan kepada keluarga, pengundi dan keluarga. Hadiah ini sebenarnya bukan milik saya seorang. Keluarga saya ada hak dan orang miskin juga ada hak.

“Saya berhasrat nak buat kenduri doa selamat meraikan kawan-kawan dan pengundi. Saya juga akan tunaikan janji dengan isteri untuk berikan RM10,000 setiap seorang kepada lima anak saya sebagai simpanan,” katanya.

Menurutnya lagi, buat masa ini dia akan berehat seketika daripada meneruskan kerjayanya sebagai tukang kayu.

“Saya tetap akan hidup dengan cara orang kampung. Kalau ditanya mengenai lakonan, memang saya berminat tetapi biarlah ia diceburi mereka yang mahir dalam bidang ini.

“Saya rapat dengan Zaman dan Elji serta bercadang bekerjasama dengan mereka untuk menghasilkan single. Kalau boleh saya nak hasilkan lagu berkonsep pop yeh yeh, asli dan irama Malaysia,” katanya.

Mustar yang menganggap Elji sebagai saingan rapatnya pada pentas final mengakui pernah mencuba nasib dalam pertandingan kecil sebelum ini dan baru sekarang meraih kejayaan.

“Saya minat menyanyi sejak bersekolah darjah lima, tetapi saya tak berminat dengan dunia glamor. Sekiranya ditawarkan untuk berada di bawah pengurusan Astro, saya akan dapatkan pandangan kawan-kawan terlebih dahulu kerana saya sebenarnya tak selesa terikat dengan mana-mana pihak,” katanya.

Elji pula akur berada di tempat kedua dan tetap bersyukur dengan rezeki yang diperoleh.

“Saya masuk bertanding dengan hati yang tenang dan serahkan pada Allah SWT untuk menentukan apa yang berlaku. Saya tak tercabar langsung kalah kepada penyanyi amatur dan tak iri hati siapa yang menang.

“Saya dah lama rancang nak buat single. Saya nak hasilkan lagu duet dengan Hasbi dan berharap kerjasama media untuk bantu mempromosikan usaha kami ini,” katanya.

Aling pula berpuas hati kerana sudah lama kami mencuba nasib dalam Kilauan Emas dan kali ini ternyata rezeki berpihak kepadanya.

“Saya dah cuba sedaya upaya buat yang terbaik. Apatah lagi saya juga kurang sihat. Syukurlah saya berjaya ke akhir dan menduduki tempat ketiga,” katanya.

Lina pula akur kerana gagal memecahkan dominasi lelaki yang sering menjuarai program ini. Namun, dia tetap berbangga kerana berjaya melangkah ke pentas akhir Kilauan Emas.

Persaingan mendebarkan

Sementara itu, keempat-empat peserta berusaha memberikan persembahan terbaik mereka pada pentas Konsert Akhir Kilauan Emas 5 yang berlangsung di Dewan Konvensyen CIDB, Jalan Cheras, Rabu lalu.

Persaingan hebat diperlihatkan antara Mustar dan Elji bagi menentukan kejuaraan sehingga Datuk Hattan meminta diadakan nyanyian sekali lagi dalam pusingan ‘sudden death’ untuk membolehkan peminat memilih siapa yang benar-benar layak muncul sebagai pemenang.

Pola undian menyaksikan Mustar mengutip 67.51 peratus, Elji 46.41 peratus, Aling 41.41 peratus dan Lina 41.12 peratus. Undian selepas pertarungan ‘sudden death’ menyaksikan Mustar jauh di depan mengutip 71.85 peratus manakala Elji 48.68 peratus.

Ketua Program Realiti & Format Astro, Namanzee Harris berkata, idea ini sudah difikirkan dari awal tetapi dirahsiakan daripada peserta.

“Kami lihat minggu demi minggu sama ada sesuai tak untuk adakan ‘sudden death’ dan melihatkan ketika sesi latihan, memang sesuai segmen ini dibuat.

“Peserta tak tahu mengenai perancangan ini dan kami hanya menyuruh mereka buat persediaan untuk menyanyikan lagu tambahan. Kami juga suruh peserta fokus kerana tiga lagu ini sangat penting.

“Kami juga sedar konsert akhir ini ada persaingan daripada perlawanan bola sepak, jadi kami tampilkan artis undangan yang terbaik dan adakan segmen ‘sudden death’ untuk menarik penonton,” katanya.

Malam kemuncak yang diacarakan oleh Raja Azura ini turut menampilkan persembahan daripada artis undangan iaitu Joey BPR, Man Bai, Ali XPDC, Mael XPDC, Jay Jay dan Jatt.

Program ini menampilkan juri tetap, Datuk Hattan, Erra Fazira, Datuk Ramli MS dan Datuk Rosyam Nor sebagai juri jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mei 2015 @ 1:05 PM