PESERTA Hot Seat yang mara ke cabaran seterusnya (dari kiri) Nas, Ben, Elji, Idris dan Silah.
PESERTA Hot Seat yang mara ke cabaran seterusnya (dari kiri) Nas, Ben, Elji, Idris dan Silah.
Ridzuan Abdul Rahman


Daripada 10 peserta yang bertanding dalam persembahan konsert minggu pertama ‘Hot Seat’ Kilauan Emas Otai di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur, baru-baru ini, tiada seorang pun peserta wanita yang layak.

Lima peserta lelaki yang terdiri daripada Ben, Elji, Idris, Nas dan Silah layak ke persaingan seterusnya manakala perserta wanita Taurath, Shamsiah, Aziana, Raida dan Rina terpaksa akur gagal mendapat tempat di hati juri.

Dalam keputusan yang diumumkan pengacara Raja Azura itu menyaksikan lima peserta lelaki terbabit bakal berentap dengan lima bekas juara Kilauan Emas iaitu Ali, Fuad, Mior, Arip dan Mustar.

Keputusan itu sesuatu yang baru kerana belum pernah lagi ada pertandingan realiti nyanyian yang hanya membariskan peserta lelaki semata-mata.

Agak janggal kerana di sebalik himpunan kumbang, tiada bunga yang terselit sebagai penyeri bagi meneruskan cabaran yang berbaki selama enam minggu.

Hakikat ini turut disedari dan diakui juri iaitu Datuk Ramli MS, Erra Fazira dan Edry selaku juri undangan pada malam itu.

Namun, ketiga-tiganya berharap semua pihak menerima keputusan ini dengan hati terbuka kerana mereka jujur dalam menilai persembahan dan kualiti peserta.

“Kami pilih peserta bukan hanya untuk konsert malam ini saja tapi untuk sepanjang pertandingan berlangsung. Ia perlu supaya mereka beri tekanan kepada sang juara yang menanti.

“Kita tak tahu minggu depan mungkin ada juara yang tersingkir jika ambil selesa cabaran daripada peserta Hot Seat ini. Mungkin peminat dengar nyanyian peserta dari sudut berbeza.

“Tapi apabila menyanyi di atas pentas besar, kami ambil kira semua faktor. Selepas ini akan ada beberapa minggu yang akan memberi tekanan tinggi kepada peserta dan nak atau tak, mereka kena hadapi,” kata Ramli.

Menurutnya, dari segi teknikal kemampuan peserta lelaki juga amat tinggi berbanding wanita.

“Sekarang kita ada 10 peserta lelaki dan daripada 10 ini, mesti ada yang mempunyai senjata yang kita boleh rasa nyanyiannya. Semuanya hebat tapi yang membezakan mereka ialah dari segi penguasaan pentas,” katanya.

Bagi Erra pula, meskipun kecewa dengan ketiadaan wakil wanita, dia mengakui kehebatan peserta yang mara ke pentas persaingan Kilauan Emas Otai.

“Awalnya saya jangka ada wakil wanita, tapi apabila dicampur markah dengan juri lain pun mereka tak boleh menyaingi markah yang dikumpul peserta lelaki.

“Saya lihat 10 peserta ini boleh menyanyi dengan baik, cuma cara mereka zahirkan di atas pentas agak berbeza. Dari aspek vokal semuanya bagus, tapi mereka perlu kreatif dalam per­sembahan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Program Realiti & Format Astro Namanzee Harris berkata, pihaknya akan memikirkan cara terbaik sekiranya ada permintaan untuk mengundi masuk peserta wanita dalam Kilauan Emas Otai.

“Kalau boleh kita juga mahukan warna dalam program ini dengan penyertaan peserta lelaki dan wanita. Dalam hal ini bakat diketengahkan terlebih dahulu. Apapun kami faham kehendak penonton.

“Jika betul ada keperluan untuk serapkan peserta wanita, kami akan berbincang dengan semua pihak termasuk juri. Kami kena akui penonton ada hak mereka. Mungkin kami akan pertimbangkan perkara ini,” katanya.

Format pemarkahan Kilauan Emas Otai menggunakan konsep 50 peratus juri profesional dan 50 peratus undian SMS.

Juara akan membawa pulang wang tunai berjumlah RM150,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Naib juara pula akan memenangi wang tunai RM50,000 berserta trofi, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing akan menerima wang tunai RM30,000 dan RM10,000 berserta trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 5:00 AM