PERSEMBAHAN tarian ‘Bollywood’ yang menghiburkan.
PERSEMBAHAN tarian ‘Bollywood’ yang menghiburkan.
ANTARA peserta yang menjayakan kem berkenaan.
ANTARA peserta yang menjayakan kem berkenaan.
Oleh Nurul Husna Mahmud

Cuti sekolah dimanfaatkan sebaik-baiknya Chew Jun Jie, 14, bagi menyertai Kem Permata Seni dan Koir, baru-baru ini. Pelajar Sekolah Menengah Pandan Mewah di Ampang, Selangor itu menyifatkan kem berkenaan yang berlangsung selama seminggu setiap cuti persekolahan adalah program menyeronokkan.

“Cuti sekolah lebih terisi dengan perkara lebih manfaat selain dapat mempelajari tarian baru. Meskipun sebelum ini saya belajar pelbagai jenis tarian, kem ini memperkenalkan rutin tarian tradisional mahupun moden dan baru.

“Selain itu, menghabiskan masa bersama rakan serta mempersembahkan perkara dipelajari selama berada di kem pada hari penutup ini boleh dikatakan kepuasan buat saya yang meminati seni tari,” katanya.

Ditanya sama ada pengisian selama seminggu itu membebankan kerana terpaksa mengorbankan sebahagian cuti sekolah dengan mengikuti kem berkenaan, kata Chew, ia tidak menjadi masalah.

“Walaupun kem ini menekankan teknikal baik teori serta pelaksanaan tarian dalam persembahan, saya tidak berasa ia sesi pembelajaran serius. Biarpun membabitkan tenaga profesional dari akademi seni, mereka faham dan tahu pendekatan sesuai untuk menarik perhatian sepanjang pembelajaran.

“Mereka mengajar dalam suasana santai dan tidak menekan. Kami diberi galakan untuk memperbaiki skil masing-masing. Jadi saya masih boleh berseronok meskipun semua dipelajari adalah mengenai tarian,” katanya.

Seorang lagi peserta, Karlyssa Lana Faizal berkata, sepanjang berada dalam kem, mempelajari seni tari tradisional paling tidak boleh dilupakan.

“Saya mempelajari tarian piring. Kami menggunakan piring sebenar dan tentu saja saat mencabar ialah memastikan ia tidak jatuh serta pecah.

“Sebelum ini persembahan kami tidak menggunakan prop sebenar, jadi debaran berkurang. Namun sebaik menggunakan prop sebenar ketika persembahan, ia memberi dorongan mahupun perasaan luar biasa sebaik berjaya menguasainya,” kata murid tahun enam Sekolah Convent Bukit Nanas itu.

Tambah Karlyssa, kem ini bukan saja memperbaiki skil tariannya, malah meningkatkan keyakinan diri.

“Dalam kelas, kami diajar pel­bagai teori, termasuk postur badan betul. Kami turut didedahkan kepada koreografi bertahap profesional supaya dapat meningkatkan skil persembahan.

“Selain itu, kami dilatih jadi lebih yakin bagi setiap persembahan di pentas, termasuk interaksi tubuh serta bersama rakan penari lain. Selepas ini kami akan lebih yakin membuat persembahan di depan masyarakat umum,“ katanya.

Bagi penyanyi pasukan koir remaja, Abbygail Ong Yuen, 14, kelas seminggu bukan memberi pendedahan mengenai seni nyanyian semata-mata, malah ada juga kelas tatarias diri.

“Sepanjang kem, kami bukan menjalani latihan vokal saja, malah diberi pendedahan cara berdandan mahupun menjaga penampilan diri.

“Di kem ini kami kenal gincu, mendadan rambut dan solekan sesuai untuk setiap persembahan. Menurut guru kami, selaku penghibur, kami perlu kelihatan kemas dan menarik di pentas,” katanya.

Rakannya, Ooi Yen Yi pula berkata, dengan adanya kemahiran asas mendandan, mereka lebih berdikari selain dapat membantu rakan lain membuat persiapan sebelum menyanyi di pentas.

“Ia bukan saja memanfaatkan diri, malah kami boleh membantu rakan mempersiapkan diri. Selain bakat nyanyian, penampilan diri menarik juga perlu untuk memastikan penonton memberi tumpuan kepada persembahan koir,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Projek Perintis Permata Negara, Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod berkata, penganjuran program berkenaan membolehkan bakat muda terus digilap, khususnya dalam bidang koir, tarian dan muzik.

“Saya melihat kem ini penting dalam mencari menggilap bakat anak muda dalam bidang nyanyian koir, tarian mahupun muzik. Buktinya, mereka boleh membuat persembahan dan sering dijemput membuat persembahan dalam program luar.

“Harapan saya cukup besar iaitu mahu melihat bakat anak muda ini diiktiraf. Malah dalam perancangan kami, sijil diperoleh anak-anak permata ini diharap dapat membantu mereka melanjutkan pelajaran dalam bidang seni tari, nyanyian dan muzik ke peringkat universiti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:04 AM