AKSI penari cilik untuk tarian India.
AKSI penari cilik untuk tarian India.
Lizam Ridzuan


MERIAH dengan warna-warni persembahan dan bakat seni muda dipaparkan dalam Konsert Genius Seni 2019 bertema ‘Seni Merentasi Zaman’.

Berlangsung di Auditorium Angkasapuri, Kuala Lumpur, konsert itu adalah anjuran Bahagian Genius, Jabatan Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC).

Lebih 214 peserta membabitkan tiga Genius Seni iaitu Genius Seni Tari, Genius Seni Koir dan Genius Seni Muzik mengadakan persembahan selama dua jam dalam tiga sesi untuk dua hari di hadapan tetamu jemputan, orang ramai dan ibu bapa, baru-baru ini.

Untuk persembahan tahun ini, ia menggabungkan empat segmen utama dengan Nostalgia Seni, Seni Mengukuhkan Perpaduan, Kepelbagaian Seni Mewarisi Malaysia dan Kami Pewaris Seni yang diadun dalam bentuk nyanyian, tarian dan lakonan.

PELBAGAI seni tarian dipersembahkan.
PELBAGAI seni tarian dipersembahkan.

Ia dimulakan dengan persembahan pembukaan berkonsepkan kegemilangan empayar Tanah Melayu manakala konsep pewaris dan penerus seni pada masa hadapan mengakhiri acara.

Tambah menarik, ia disokong dengan unsur pencahayaan pentas, multimedia, set dan prop, koreografi tari, gubahan koir dan muzik untuk menghiburkan penonton.

Ketua Pengarah JKKN, Tan Sri Norliza Rofli berkata, pihaknya sentiasa berusaha dalam menyemarakkan dan mencungkil bakat untuk diketengahkan dan membangun modal insan yang berkualiti.

“Program seperti ini juga dapat mempromosikan seni budaya melalui aktiviti dan penerapan nilai murni dalam kalangan anak-anak,” katanya.

Bukan sekadar persembahan, peserta Genius Seni turut mendapat pelbagai anugerah daripada pelbagai pihak dalam dan luar negara yang mengiktiraf bakat anak-anak tempatan.

Antaranya ialah Juara Keseluruhan Grand Prix dan Absolute Winner of Winter Stars of Dresden 2016 di Jerman serta 3G Children Welfare Award dalam Majlis Penganugerahan 3G Children Welfare Award, Global Good Governance Awards 2016 di Instanbul, Turki.

TARIAN K-Pop bertenaga.
TARIAN K-Pop bertenaga.

Len Zhi Yi dari Genius Seni Koir menerima pingat emas dan Johan Kategori Berkumpulan serta pingat emas dan Johan Kategori Koir Campuran dalam Festival Koir Antarabangsa Bali Ke-4 yang diadakan di Bali, Indonesia.

Genius Seni Muzik juga diiktiraf dengan Wong Jun Xiang menerusi alat muzik biola menerima Biasiswa ASEAN bermula dari tingkatan satu sehingga A’ Level oleh kerajaan Singapura.

Nisa Addina Mohamad Taufik juga mengharumkan nama negara dengan memenangi World Grand Champion for Junior Instrumentalist dalam pertandingan World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, Amerika Syarikat.

Sekadar menyebut beberapa nama terdapat puluhan lagi pengiktirafan dan anugerah diraih dalam meletakkan bakat tempatan ke peringkat tertinggi di seluruh dunia.

NORLIZA (tengah) menyaksikan persembahan.
NORLIZA (tengah) menyaksikan persembahan.

Kebanyakan mereka terdiri daripada pelajar berusia enam hingga 17 tahun yang dipupuk oleh tenaga pengajar profesional antaranya ialah Datuk Mustafa Fuzer Nawi (Genius Muzik), Datuk Syafinaz Selamat (Genius Koir) dan Muhammad Akmal Ayob (Genius Tari).

JKKN adalah agensi yang menjalankan aktiviti kebudayaan dan kesenian Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia.

Objektif program dan tujuan konsert ini diadakan ialah untuk menggilap bakat dan memberi ruang serta peluang kepada Genius Seni mengadakan persembahan berskala besar untuk menambah pengalaman, kemahiran dan pengetahuan setiap individu

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Disember 2019 @ 6:00 AM