BABAK menarik dalam Konsert GENIUS Seni.
BABAK menarik dalam Konsert GENIUS Seni.
Ridzuan Abdul Rahman


PERSEMBAHAN dua malam yang meriah dan menghiburkan. Itu yang dapat diperkatakan berkenaan penganjuran Konsert GENIUS Seni 'Sedekad Dimensi Kecemerlangan' anjuran Bahagian Genius, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Persatuan Pesona Seni Kuala Lumpur.

Konsert yang berlangsung pada Jumaat dan Sabtu lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri RTM Kuala Lumpur itu ternyata membawa satu dimensi baharu dan segar dalam seni tarian tanah air.

Persembahan yang berlangsung selama dua jam ini menggabungkan tiga segmen iaitu Langkah Gemalai, Gerak Bertingkah serta Sentuhan Berdendang yang diadun dalam bentuk nyanyian, tarian dan lakonan.

Penonton amat terpegun dan terhibur menyaksikan setiap inci gerak langkah tari dipersembahkan semua peserta yang terbabit dalam acara itu.

Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mesran Mohd Yusop berkata, konsert ini bertujuan mengangkat karya GENIUS Seni dalam sebuah persembahan tarian 'versatil'.

AKSI datuk bersama tiga cucu.
AKSI datuk bersama tiga cucu.

"Selain itu, ia memperlihatkan prestasi sedekad pencapaian cemerlang GENIUS Seni sebagai tanda aras seni bermutu tinggi dan sebagai wadah pementasan bagi menghargai pembabitan peserta dalam mengangkat martabat seni budaya bangsa.

"Bersempena Konsert GENIUS Seni pada tahun ini, seramai 185 peserta membabitkan Genius Seni Tari, Genius Seni Koir dan Genius Seni Muzik bergabung dalam Konsert GENIUS Seni yang berkonsepkan pementasan muzikal," katanya.

Menerusi konsert yang ditampilkan, persembahan digarap dengan unsur penceritaan oleh seorang 'datuk' kepada tiga remaja iaitu Puteri, Izzul dan Mia.

Penceritaan berkisar berkenaan pengalaman datuk itu ketika muda dan secara tidak langsung dia adalah penggiat seni budaya terutama dalam bidang seni bela diri.

Tertarik dengan kisah yang diceritakan datuk mereka, akhirnya timbul kesedaran dan minat dalam diri generasi muda ini mempelajari dengan lebih mendalam mengenai seni dan budaya.

PENONTON terhibur dengan persembahan ditampilkan.
PENONTON terhibur dengan persembahan ditampilkan.

Menurut Mesran, pementasan digarap dengan menggabungkan ketiga-tiga elemen seni iaitu muzik, tari dan koir.

"Program GENIUS Seni adalah satu program asuhan dan bimbingan bagi melatih anak-anak yang berbakat dalam bidang seni koir, muzik dan tari.

"Malah, setiap bidang terbahagi dua kategori iaitu GENIUS Seni untuk peserta berumur enam hingga 12 tahun. Diikuti, GENIUS Seni Remaja untuk peserta berumur 13 hingga 18 tahun.

"Melalui konsert ini juga ia membuktikan GENIUS Seni terserlah dalam kalangan generasi muda kita, sekali gus menentukan bahawa bakat seni dan kehebatan muzik terus menjadi kebanggaan serta membawa kemasyhuran melalui kecemerlangan budaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 6:18 AM