Nabil Basaruddin


Kuala Lumpur: Malaysia dalam tempoh enam dekad ini berjaya menghasilkan pelbagai syarikat yang kompetitif di peringkat global meskipun berada dalam persekitaran ekonomi terbuka dan pasaran domestik yang kecil.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kejayaan itu terbukti memandangkan negara ketika ini adalah pengeksport modal bersih dengan pelaburan langsung di luar negara berjumlah RM574 bilion pada suku kedua 2017 berbanding pelaburan langsung asing (FDI) yang diterima RM557 bilion.

Beliau berkata, secara hakikatnya, syarikat Malaysia melaburkan lebih banyak wang di luar negara, sekali gus menunjukkan bahawa konglomerat tempatan mempunyai kehadiran kukuh di peringkat antarabangsa.

“Kita mempunyai lebih daripada 1,000 syarikat Malaysia yang aktif dengan pelaburan di luar negara. Antaranya Sime Darby Bhd, SP Setia Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ketika ini memulakan projek RM40 bilion serta bercita-cita untuk menjana semula Stesen Kuasa Battersea di London.

“Selain itu, PETRONAS turut mempunyai kehadiran di lebih daripada 30 buah negara, manakala Axiata adalah antara peserta telekomunikasi terbesar di ASEAN dan juga yang pertama menawarkan perkhidmatan 4G LTE di rantau ini serta banyak lagi contoh lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Forum Perniagaan Asia, di sini, semalam. Hadir sama Ketua Pengarang Berita Digital Channel News Asia, Jamie Ho.

Mustapa berkata, kunci kejayaan Malaysia juga terletak pada sokongan kuat terhadap integrasi ekonomi serantau di ASEAN kerana ia berpotensi membawa banyak manfaat kepada negara dan anggota lain melalui integrasi ekonomi, politik serta sosiobudaya yang lebih rapat.

“Kita mendapat banyak manfaat daripada Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), antaranya termasuklah 28 peratus daripada perdagangan negara pada 2016 adalah dengan ASEAN berjumlah RM403 bilion berbanding hanya RM58 bilion pada tahun 1993.

“AEC sudah semestinya membuka peluang, bukan sahaja untuk syarikat multinasional (MNC), tetapi juga untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau ini, termasuk Malaysia. Ketika ini, terdapat lebih daripada 1,500 syarikat kita yang beroperasi di ASEAN,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 6:38 AM