KRU kapal Crest Onyx bersedia mengangkut serpihan yang ditemui semula di pelabuhan di Kumai, semalam. FOTO AFPADEK BERRY
KRU kapal Crest Onyx bersedia mengangkut serpihan yang ditemui semula di pelabuhan di Kumai, semalam. FOTO AFPADEK BERRY

Pangkalan Bun : Pasukan penyelam Tentera Laut Indonesia pagi ini dikerah untuk mengangkat dan mengeluarkan kotak hitam pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang dikenal pasti lokasinya semalam.

Pengarah Navigasi Jabatan Perhubungan Laut, Tonny Budiono, berkata pasukan penyelam yang kini berada di atas kapal KN Jadayat sudah meletakkan tanda boya kecil pada lokasi objek yang dikesan sebagai kotak hitam pesawat.

"Pagi ini, pasukan penyelam akan diturunkan ke lokasi kotak hitam yang juga berada dekat serpihan pesawat," katanya.

Bagaimanapun, katanya, usaha mengangkat kotak hitam banyak bergantung kepada keadaan laut.

"Jika serpihan pesawat berada dekat dengan kotak hitam, ia mudah diambil. Namun, kerja mengangkatnya akan menjadi rumit jika perlu diangkat dengan menggunakan sistem belon," katanya.

Beliau berkata, koordinat lokasi kotak hitam sudah diperoleh dan semua kapal milik Kementerian Perhubungan Indonesia tetap membantu pencarian mayat dan serpihan pesawat.

"Fokus pencarian di Selat Karimata, Selat Sunda, Selat Makassar dan Laut Jawa. Pengarah Jabatan Perhubungan Laut juga sudah berhubung dengan Stesen Radio Pantai untuk menyampaikan maklumat jika ada jenazah atau serpihan yang terdampar di tepi pantai," katanya. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 10:34 AM