RONALDO calon utama raih gelaran kali kedua berturut-turut.
RONALDO calon utama raih gelaran kali kedua berturut-turut.
AFP

Zurich: Cristiano Ronaldo menjadi calon pilihan untuk memenangi anugerah Ballon d’Or buat tahun kedua berturut-turut mengatasi Manuel Neuer dan Lionel Messi pada satu majlis di Zurich, awal pagi esok.

Messi menduduki dua tangga teratas setiap tahun dalam tempoh tujuh tahun terakhir namun meskipun mencatat prestasi membanggakan pada 2014, dia dijangka akan berada di belakang dua seteru utamanya itu kali ini.

Kempen Piala Dunia yang mengecewakan apabila tersingkir di peringkat kumpulan bersama Portugal tidak menghalang Ronaldo untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai calon utama meraih anugerah itu buat kali ketiga dalam kariernya.

Bintang Real Madrid berusia 29 tahun itu meledak 61 gol dalam kalendar tahun lalu untuk membantu kelabnya memenangi Liga Juara-Juara, Piala Raja Sepanyol dan Piala Super UEFA sebelum menutup saingan 2014 dengan trofi Piala Kelab Dunia.

Ronaldo menjaringkan 17 gol dalam Liga Juara-Juara musim lalu dan kini mencatat rekod luar biasa dengan menyumbat 16 gol dalam 16 perlawanan La Liga musim ini.

Bukan sesuatu yang mengejutkan apabila dia mendapatkan sokongan padu kelabnya yang menganggap Ronaldo calon layak memenangi anugerah itu dan secara terbuka mengkritik pandangan Presiden UEFA Michel Platini yang menyatakan anugerah itu seharusnya diberikan kepada Neuer.

Platini November lalu berkata pemain Jerman itu seharusnya memenangi anugerah itu berikutan kejayaannya pada Piala Dunia dengan memberitahu pihak media: “Saya sudah menyatakannya empat tahun lalu. Pemain Sepanyol seharusnya memenangi anugerah itu kerana Sepanyol memenangi Piala Dunia (2010). Kali ini giliran Jerman pula.”

Dalam kenyataan balas Madrid melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan Platini itu mengenai pemain pilihannya untuk memenangi Ballon d’Or dan menambah Ronaldo, “berhak untuk memenangi Ballon d’Or.”

Bagaimanapun Neuer, calon tunggal daripada senarai awal enam pemain skuad juara Piala Dunia yang berjaya menempatkan diri dalam senarai tiga terakhir masih mempunyai peluang untuk menjadi penjaga gol pertama meraih anugerah itu sejak Lev Yashin dari Soviet Union pada 1963 dan pemain pertama Jerman sejak Lothar Matthaeus pada 1990 ketika Jerman Barat menjulang Piala Dunia di Itali.

Neuer tidak meletakkan harapan tinggi selepas rakan sepasukannya di Bayern Munich, Franck Ribery kecewa pada majlis anugerah tahun lalu.

“Saya bukan calon pilihan,” kata Neuer. “Dua lagi calon cukup terkenal di pentas antarabangsa, mereka mempunyai kelebihan.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 6:46 AM