Oleh Mohd Sah Muda

Seramai 1,500 murid daripada keluarga kurang berkemampuan sekitar Parlimen Mersing, Johor menerima sumbangan peralatan sekolah dalam program Kembali ke Sekolah, baru-baru ini.

Program berkenaan bertujuan meringankan bebanan ibu bapa menjelang sesi baru persekolahan.

Program berkenaan turut menyasarkan objektif mendekati masyarakat serta menyelami permasalahan dihadapi golongan terbabit di kawasan sasaran.

"Ini kali pertama saya menerima sumbangan seperti ini dan tentunya ia sangat menggembirakan.

"Tahun ini, saya ke sekolah dengan beg baru. Sebelum ini saya tidak berpeluang kerana keluarga bukan orang senang," kata murid tahun empat SK Sri Mersing, Suzana Arisya Yahya.

Rakannya, K Naamithaa turut sama teruja, sekali gus memotivasikan dirinya untuk hadir ke sekolah.

"Dengan sokongan seperti ini, semangat saya berkobar-kobar untuk ke sekolah.

"Terima kasih kepada mereka yang prihatin keinginan kami serta membantu keluarga kami," katanya.

Sumbangan itu disampaikan Pengerusi Biro Pelajaran UMNO Malaysia, Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah di Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) Mersing Kanan.

Antara barangan diterima murid berkenaan ialah kasut, beg dan peralatan tulis manakala 100 murid turut menyertai program gunting rambut percuma yang dianjurkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 January 2015 @ 5:00 AM