Murid SK Gong Balai ceria memulakan hari pertama sesi persekolahan 2020 dengan pakaian baru. FOTO Malik Muhamad
Murid SK Gong Balai ceria memulakan hari pertama sesi persekolahan 2020 dengan pakaian baru. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


"SYUKUR dan terima kasih Harian Metro (HM) dengan bantuan ini (pakaian dan kelengkapan ke sekolah)," kata Siti Safuha Najihah Saiful Aswade, 10.

Murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Balai, Marang itu antara 150 penerima bantuan sempena Program Titipan Kasih Harian Metro-MILO Kembali ke Sekolah 2019 di Sekolah Kebangsaan Undang, Marang Sabtu lalu.

Siti Safuha Najihah berkata, dia gembira kerana dapat memakai pakaian baharu pada hari pertama sesi persekolahan 2020 selain kelengkapan lain.

"Dalam program ini saya menerima sumbangan baju, tudung, kasut, beg dan alat tulis.

"Bantuan ini menaikkan semangat saya untuk ke sekolah seterusnya belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Muhammad Iqmal Daniel Azlim, 12, berkata, dia gembira kerana dapat memakai pakaian baharu pada hari pertama persekolahan.

"Terima kasih HM yang menyumbang pakaian dan kelengkapan lain seperti baju, beg, kasut, seluar dan alat tulis, saya gembira," katanya yang kehilangan bapa dua tahun lalu akibat lemas ketika menangkap ikan.

Selain murid SK Gong Balai, lima sekolah lagi iaitu SK Undang, SK Ru Rendang, SK Bukit Payong, SK Merchang dan SK Paya Resak terdiri daripada golongan miskin dan asnaf turut menerima bantuan itu.

Sementara itu Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Gong Balai, Siti Zubaidah Rosman berkata, dia gembira apabila murid yang menerima bantuan itu ceria datang ke sekolah.

"Alhamdulillah 20 murid sekolah ini yang menerima bantuan terbabit sangat ceria.

"Mereka bersemangat memulakan sesi persekolahan dan ia pengalaman berharga buat mereka kerana pertama kali mendapat bantuan sebegini," katanya yang berharap program itu diteruskan pada masa depan.

Program sehari itu turut dihadiri Pengarang Eksekutif Komersial Harian Metro merangkap Pengerusi TKHM 2019, Husain Jahit; Pengarang Berita Komersial Harian Metro, Noor Azam Ab Aziz serta Pegawai Penajaan dan Persampelan MILO Zon Timur, Awang Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 January 2020 @ 9:32 PM