MISTERI penemuan sebuah bot berpusing-pusing tanpa pemandu di perairan Tanjung Kubong, Labuan. FOTO Ihsan APMM
MISTERI penemuan sebuah bot berpusing-pusing tanpa pemandu di perairan Tanjung Kubong, Labuan. FOTO Ihsan APMM
Junaidi Ladjana


MISTERI penemuan sebuah bot berpusing-pusing tanpa pemandu di perairan Tanjung Kubong, dekat Labuan, terjawab apabila seorang lelaki ditemui selamat selepas dipercayai terjatuh dari botnya ketika sedang memancing ikan, tengah hari ini.

Mangsa Alias Ahmad, 59, ditemui selamat oleh nelayan berhampiran lokasi kejadian manakala bot mangsa ditemui oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan selepas menerima panggilan jam 1.30 tengah hari berkenaan sebuah bot pancing sedang berpusing-pusing tanpa pemandu di perairan berkenaan.

Pengarah APMM Labuan Kepten Maritim Che Adnan Md Isa berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan, pihaknya mengarahkan sebuah bot peronda ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan sejurus mendapat laporan berkenaan.

"Pada jam 2.10 petang, bot pancing itu berjaya ditemui dan didapati bot berhenti berpusing kemungkinan akibat kehabisan bahan bakar.

"Seterusnya, pencarian dilakukan kerana bimbang kemungkinan pemandu bot terjatuh," katanya di ini, hari ini.

Menurutnya, kira-kira 20 minit operasi dijalankan, nelayan yang berada di kawasan berhampiran memaklumkan menyelamatkan seorang nelayan yang dipercayai terjatuh dari botnya.

"Mangsa kemudian dibawa ke pantai sebelum dihantar ke Hospital Nukleus Labuan, oleh anggota bomba yang sedia menunggu di pantai untuk rawatan lanjut.

"Mangsa stabil namun keadaan masih lemah," katanya.

Tambah Che Adnan, APMM Labuan sentiasa mengambil berat akan isu keselamatan di laut yang membabitkan pemancing bot kecil dan bot-bot nelayan.

"Justeru, kita mengharapkan kerjasama daripada orang ramai supaya membuat persiapan sewajarnya sebelum keluar ke laut berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

"Orang ramai juga dinasihatkan supaya keluar ke laut secara berpasangan bagi mengelak kejadian yang sama berulang," katanya.

Caption:

1. BOT pancing ditemui berpusing-pusing tanpa pemandu di perairan Tanjung Kubong, Labuan.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Mei 2017 @ 6:19 PM