ABD Halim (depan lima dari kanan) bergambar bersama sebahagian peserta Seminar Graduan Holistik 2017 di Hotel Bayview, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
ABD Halim (depan lima dari kanan) bergambar bersama sebahagian peserta Seminar Graduan Holistik 2017 di Hotel Bayview, Langkawi. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal muncul Universiti Awam pertama tubuh 'Troop Siswa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)' bagi menerap budaya integriti dan bebas rasuah kalangan generasi muda dalam masa terdekat.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Zul Azhar Zahid Jamal berkata, kertas cadangan projek perintis itu dikemukakan kepada SPRM pada majlis pelancaran Ikrar Bebas Rasuah (IBR) di UniMAP pada April lalu.

"Troop Siswa SPRM adalah program latihan berkonsepkan kadet untuk pelajar, manakala pegawai kehormat untuk kakitangan UniMAP dan kertas cadangan mengenainya sedang diteliti pihak SPRM.

"Kita juga merancang untuk menempatkan pelajar dalam konteks latihan industri untuk tempoh tiga tahun di pejabat SPRM," katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Seminar Graduan Holistik 2017 di Hotel Bayview di sini, hari ini.

Seramai 500 mahasiswa mewakili 17 institusi pengajian tinggi awam seluruh negara menghadiri seminar tiga hari itu anjuran UniMAP dengan kerjasama SPRM.

Majlis perasmian disempurnakan Setiausaha Politik Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Abd Halim Jusoh.

Hadir sama Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Abdul Samat Kasah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mei 2017 @ 11:42 AM