Rudy Syareme Sheriffudin


Georgetown: Dua ekor 'Arapaima' atau ikan naga seberat 100 kilogram ditemui dibela tanpa permit di sebuah premis pembekal ikan hiasan di sini, pagi tadi.

Operasi jam 11.30 pagi itu membabitkan sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Perikanan Negeri (DOF) Pulau Pinang yang diketuai Pengarahnya, Nor Aisyah Abu Bakar.

Nor Aisyah berkata, dalam pemeriksaan itu, dua ekor ikan berkenaan masing-masing sepanjang dua meter ditemui di dalam sebuah kolam berpagar di tapak semaian yang dimiliki pengusaha ikan hiasan.

Beliau berkata, semasa pemeriksaan dilakukan kedua-dua ikan berkenaan dipercayai tidak mempunyai permit untuk dibela selain tidak mematuhi arahan dan prosedur ditetapkan.

Katanya, setiap pengusaha ikan hiasan dikehendaki mematuhi Akta Perikanan 1985 dan boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kami memberi amaran keras ke atas mana-mana pihak yang cuba melepaskan ikan dilarang di perairan negara.

"Tindakan tegas boleh diambil termasuk menyita ikan berkenaan atau mendakwa pengusaha di mahkamah," katanya.

Berikutan itu, pengusaha tapak semaian itu diberi amaran keras dan diarahkan memohon permit untuk memelihara ikan berkenaan.

Ends.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mei 2017 @ 4:27 PM
Ikan 'Arapaima' atau dikenali ikan naga sepanjang lebih dua meter ditemui semasa program pemantauan premis serta kempen kesedaran ikan larangan import. FOTO Danial Saad
Ikan 'Arapaima' atau dikenali ikan naga sepanjang lebih dua meter ditemui semasa program pemantauan premis serta kempen kesedaran ikan larangan import. FOTO Danial Saad