LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) mengingatkan semua pengimport produk hasilan perikanan Jepun supaya mematuhi peraturan import dan prosedur ditetapkan pihak berkuasa dalam negara bagi memastikan makanan yang diimport adalah selamat.

DOF berkata, setiap konsainan juga perlu mempunyai sijil kesihatan pihak berkuasa Jepun.

Sebagai langkah kawalan, DOF berkata pihaknya akan memastikan import ikan marin hidup adalah bebas daripada kandungan cemaran radionuklid dan setiap konsainan perlu mempunyai Sijil Kesihatan Ikan daripada negara pengimport yang sedang berkuat kuasa.

"Semua pengimport konsainan ikan hidup perlu memohon permit import daripada Jabatan Perkhidmatan Pemeriksaan Kuarantin Malaysia (Maqis) dan mematuhi syarat permit import yang dinyatakan oleh DOF di dalam permit Maqis.

"Untuk rekod, Malaysia mengimport hasilan perikanan bagi tujuan makanan daripada negara Jepun secara sejuk beku iaitu produk ikan sardin dan ikan mackerel.

"Bagi ikan hidup dari Jepun pula, Malaysia hanya mengimport ikan hiasan (air tawar) seperti Koi Carp (Cyprinus carpio).

"Pengimportan ikan hidup ini hanya membabitkan ikan hiasan air tawar sahaja dan bukan ikan marin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) melalui jabatan dan agensinya sentiasa memastikan prosedur operasi standard (SOP) pemantauan dilaksanakan sebaik mungkin secara berterusan.

Katanya, MAFS bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memastikan keselamatan makanan dan keterjaminan makanan kepada seluruh rakyat Malaysia.

"DOF mengambil perhatian serius terhadap kenyataan akhbar tempatan berkaitan pelepasan sisa air radioaktif terawat Fukushima bertarikh 24 Ogos 2023 serta kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 23 Ogos 2023, yang mana KKM akan mengenakan pemeriksaan Tahap 4 (pengawasan) di pintu masuk negara terhadap produk makanan berisiko tinggi yang diimport dari negara Jepun untuk analisis kandungan bahan radioaktif.

"Dalam perkara ini, pihak MAFS melalui DOF, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Maqis akan memberikan kerjasama kepada KKM bagi memastikan hasil perikanan di pasaran adalah bebas bahan pencemar," katanya.

Kebimbangan dibangkitkan pelbagai pihak berhubung tindakan Jepun melepaskan air radioaktif dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik bermula 24 Ogos lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Ogos 2023 @ 5:48 PM