PEMERIKSAAN di beberapa premis dan hotel di sekitar Port Dickson dan pengusaha diberi penerangan serta kesedaran tentang spesies ikan larangan import yang diharamkan. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan
PEMERIKSAAN di beberapa premis dan hotel di sekitar Port Dickson dan pengusaha diberi penerangan serta kesedaran tentang spesies ikan larangan import yang diharamkan. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Ancaman ikan 'alien' yang diseludup masuk ke negara ini hingga menjejaskan pembiakan ikan tempatan.

Perkara itu dikesan susulan tindakan individu tertentu membela ikan spesis Flower Horn, Aligator Gar, Pacu atau Arapaima yang bukan berasal dari negara ini.

Susulan itu Jabatan Perikanan Daerah Port Dickson bertindak menjalankan pemantauan dan pemeriksaan terhadap premis akuarium sekitar Port Dickson bagi memastikan pemiliknya tidak membela spesies ikan yang dilarang import.

Ketua Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan (DOF) NS, Doreen Wee Siew Leen berkata, pihaknya bersama beberapa agensi penguatkuasa bertindak membuat pemantauan dan pemeriksaan terhadap semua premis menjual ikan hiasan di sekitar Port Dickson.

"Kami sudah membuat pemeriksaan terhadap tujuh premis akuarium dan hotel. Pengusaha premis diberi penerangan serta kesedaran berhubung spesies ikan larangan import disenaraikan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import) 1990 Pindaan 2011, Akta Perikanan 1985.

"Antara ikan tersenarai dikenal pasti adalah ikan Flower Horn, Aligator Gar, Pacu dan Arapaima yang dilarang dijual ," katanya tadi.

Menurutnya, semua pengusaha diberi peringatan tidak memiliki dan menjual ikan itu tersenarai kepada orang awam.

"Semua ikan yang tersenarai itu, dikhuatiri boleh mengganggu ekosistem sungai ekoran sesetengah ikan ini bersifat agresif, cepat membiak malah ia pembawa penyakit dan pemakan ikan-ikan asli tempatan sekiranya terlepas ke perairan terutamanya sungai," ujarnya.

Doreen berkata, lambakan ikan larangan di perairan sungai akan mengakibatkan ikan asal atau ikan tempatan berkurangan.

Tambahnya, tiada siapa boleh mengimport, menjual dan memelihara ikan asing ini tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.

"Mana-mana individu yang melanggar peruntukan dalam peraturan 2(1) boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM1,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 5:50 PM