MEMASTIKAN ikan arowana yang diimport berada dalam keadaan terbaik.
MEMASTIKAN ikan arowana yang diimport berada dalam keadaan terbaik.
Muhamaad Razis Ismail


STATISTIK yang dikeluarkan Jabatan Statistik Malaysia merekodkan sebanyak 66,159,297 tan metrik ikan hiasan bernilai lebih RM51 juta diimport dari luar negara pada 2021.

Jumlah itu meningkat berbanding 54,285,574 tan metrik pada 2020 dan 24,688,883 tan metrik pada 2019 ikan hiasan dibawa masuk dari luar negara ke negara ini.

Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti, Jabatan Perikanan Malaysia, Yeo Moi Eim berkata, pengimport ikan hiasan adalah terdiri dari pengusaha perniagaan akuarium, pengeksport, pengumpul (hobi) dan penyelidik bagi tujuan perniagaan, haiwan kesayangan, pertandingan, penyelidikan, pendidikan dan pameran.

Katanya, mengikut rekod, terdapat 1,705 spesies (termasuk varieti) ikan hiasan air tawar dan marin yang pernah diimport ke negara ini.

"Secara umumnya pengimportan ikan bagi semua spesies adalah dibenarkan kecuali spesies asing dan invasive yang perlu dinilai melalui Penilaian Risiko Import (Import Risk Analysis) terlebih dahulu.

"Selain itu, spesies ikan terancam yang disenarai di bawah Konvensyen Antarabangsa Perdagangan Spesies Terancam (Convention International Trade of Endangered Species (CITES) perlu disertakan dengan permit import CITES.

"Genus atau spesies yang dilarang di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import, dan sebagainya bagi ikan) 1990 (Pindaan 2011) adalah tidak dibenarkan untuk dibawa masuk ke negara ini termasuk arapaima, piranha dan salmon," katanya.

Menurutnya, untuk membawa masuk ikan ini, terdapat prosedur yang perlu dipatuhi bagi mengurangkan risiko penyebaran penyakit, perosak dan bahan cemar serta mengelakkan kerosakan alam sekitar serta gangguan biodiversiti dari kemasukan ikan hiasan melalui pengimportan yang tidak dikawal.

Mengulas lanjut, pengimport mesti berdaftar dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan mempunyai premis kuarantin ikan hidup yang diisytihar di bawah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

"Setiap kali pengimportan ikan hidup mesti disertakan dengan Sijil Kesihatan Ikan Hidup yang dikeluarkan pihak berkuasa kompeten negara pengimport dengan pengisytiharan kesihatan seperti di lampiran

"Konsainan import mempunyai Permit Import Ikan Hidup yang sah dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bagi Semenanjung Malaysia, Jabatan Perikanan Sabah (bagi Sabah) atau Jabatan Pertanian Sarawak (bagi Sarawak).

"Setiap ikan hiasan hidup yang diimport tertakluk kepada prosedur pemeriksaan dan kuarantin, bergantung kepada risiko dibawa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 6:55 AM