Elwin menunjukkan sijil kepada ibu, Kunavathi, 57, dan bapa, Paul Raj, 70, selepas memenangi pertandingan MBBC 2017. FOTO Syamsi Suhaimi
Elwin menunjukkan sijil kepada ibu, Kunavathi, 57, dan bapa, Paul Raj, 70, selepas memenangi pertandingan MBBC 2017. FOTO Syamsi Suhaimi
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, Elwin Raj, 17, dinobatkan sebagai juara Pertandingan Neurosains Peringkat Kebangsaan, Malaysia Brain Bee Challenge (MBBC) 2017 di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, hari ini.

Keputusan itu melayakkan Elwin mewakili Malaysia ke Pertandingan International Brain Bee Championship (IBBC) 2017 di Washington DC, Amerika Syarikat (AS) pada Ogos nanti.

Dalam pertandingan selama dua hari itu, seramai 27 peserta diuji menerusi ujian lisan dan bertulis berkaitan bidang neurosains.

Elwin berkata, ini adalah kali kedua dia menyertai pertandingan itu selepas berada di kelompok 10 teratas pada tahun lalu.

"Sebagai persediaan awal, saya memperuntukkan selama dua jam setengah untuk membaca buku berkenaan neurosains selain membuat latih tubi secara atas talian dan mendapat tunjuk ajar daripada guru di sekolah serta ibu bapa.

"Pada hari ini, segala usaha dan penat lelah dibayar dengan sebuah kejayaan apabila berjaya mengumpul markah tertinggi," katanya.

Elwin turut menerima Anugerah Al-Biruni sekali gus membawa pulang wang tunai RM550 dan sijil penyertaan disampaikan Ketua Jabatan Pusat Sains Perubatan USM, Prof Dr Din Suhaimi Sidek

Hadir sama, Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains USM, Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan Pensyarah Perubatan USM merangkap ketua projek MBBC 2017, Prof Madya Dr Muzaimi Mustapha.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 8:50 PM