UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. FOTO arkib NSTP
UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Dua penyelidik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam dan Universiti Malaya (UM) dipilih sebagai penerima Geran Insentif daripada Yayasan Penyelidikan Otak, Minda dan Neurosains Malaysia (YPOMNM) Kitar 1-2019.

Penyelidik terbabit, Dr Mohd Nor Azmi Ab Patar dari UiTM dan Dr Sim Maw dari UM, masing-masing menerima geran sebanyak RM5,000.

Pengasas YPOMNM, Profesor Datuk Dr Jafri Malin Abdullah berkata, kedua-dua penyelidik berkenaan dipilih mengikut kriteria utama pemilihan iaitu menjalankan penyelidikan membabitkan bidang neurosains, sama ada bidang neurosains asas, klinikal atau gunaan.

Katanya, Mohd Nor Azmi menerusi kajiannya bertajuk 'Bio-inspired algorithm for automatic behavioral characterization of spinal injured rats' akan mempertingkatkan kualiti penyelidikan dan analisis ke atas data jenis biologi di Malaysia.

"Algoritma yang baru dihasilkan akan mendorong kerjasama antara makmal biomekanik serta makmal berasaskan biologi.

"Sementara, Sim menerusi kajiannya 'Influence of dopaminergic system gene polymorphisms on Amphetamine-Type Stimulants (ATS) abuse and dependence in the multi-ethnic Malaysian population' pula akan mengesan dan menentukan pelbagai polimorfisme genetik (SNP) dalam gen sistem dopaminergik.

"Ia dikaitkan dengan kebergantungan ke atas dadah perangsang jenis amfetamina (ATS) dan sebagainya," katanya dalam kenyataan di sini.

Mengulas lanjut Jafri Malin berkata, geran yang penyertaannya terbuka kepada semua penyelidik dari institusi pendidikan tinggi, pusat, agensi awam dan swasta di negara ini adalah sebahagian daripada usaha YPOMNM bagi melahirkan penyelidik bertaraf antarabangsa dalam penyelidikan otak, minda dan neurosains.

Katanya, selain komited bagi mencari dana, YPOMNM turut menyediakan bantuan perkhidmatan dan kewangan kepada pengkaji yang berminat untuk menjalankan sebarang penyelidikan berkaitan otak dan neurosains.

"YPOMNM juga berhasrat mewujudkan pelbagai kemudahan kepada pengkaji di makmal dan pusat penyelidikan klinikal dengan kelulusan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPOMNM.

YPOMNM turut diasaskan bersama Prof Madya Dr Durriyyah Sharifah Hasan Adli dari UM bagi merealisasikan impian, memberi kesedaran serta menghargai kepentingan bidang penyelidikan otak, minda dan neurosains.

Ia juga berperanan dalam menjadikan penyelidikan otak, minda dan neurosains di Malaysia sebagai suatu penyelidikan yang berkualiti dan diiktiraf di peringkat antarabangsa oleh golongan penyelidik.

"YPOMNM mengalu-alukan individu, badan korporat atau syarikat yang ingin menderma bagi membantu usaha memajukan bidang neurosains di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 9:13 PM