Elwin bergambar bersama ibu bapanya,  Kunavathi dan  Raj selepas mendapat tempat ketiga pertandingan IBBC 2017 di Walter E Washington Convention Centre, Washington DC,  semalam.
Elwin bergambar bersama ibu bapanya, Kunavathi dan Raj selepas mendapat tempat ketiga pertandingan IBBC 2017 di Walter E Washington Convention Centre, Washington DC, semalam.
Rizanizam Abdul Hamid


Kuala Lumpur: “Sejujurnya, saya tidak meletakkan sebarang sasaran tempat pada pertandingan peringkat antarabangsa ini memandangkan ia kali pertama saya sampai ke tahap ini.

“Sebaliknya saya hanya bermotivasi untuk meletakkan Malaysia sebagai negara yang maju dari segi bidang neurosains,” kata Elwin Raj, 17, pemenang tempat ketiga pertandingan ‘International Brain Bee Championship’ (IBBC) 2017 di Washington DC, Amerika Syarikat, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur, itu wakil tunggal negara menyertai 24 johan negara masing-masing pada acara kejohanan selama lima hari bermula 2 hingga 6 Ogos.

Johan Pertandingan Neurosains Peringkat Kebangsaan, ‘Malaysia Brain Bee Challenge’ (MBBC) 2017, Mei lalu itu ketika dihubungi Harian Metro semalam berkata, tidak menyangka diumumkan pada tempat ketiga kerana hanya diumumkan sebagai senarai lima teratas pada pertengahan pertandingan.

“Saya tidak sangka akan kemenangan ini kerana cabaran daripada peserta lain juga amat hebat kerana mereka adalah juara di negara masing-masing.

“Apa yang lebih menarik, saya dapat bertukar-tukar idea dan pandangan dengan peserta mengenai peluang kerjaya bidang ini pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi di Washington DC di sini semalam.

Kemenangan tempat ketiga itu melayakkan Elwin membawa pulang wang tunai AS$1,000 (RM4,281), peluang latihan industri dalam bidang neurosains di University of Maryland, Baltimore, piala, pingat dan sijil.

Tempat pertama dan kedua masing-masing menjadi milik Sojas Wagle, 15, dari Arkansas, AS dan Milena Malcharek dari Poland.

Mengulas lanjut anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, dia amat berterima kasih kepada Tuhan dan ibu bapa, K Kunavathi, 57 dan Paul Raj, 65, yang bertungkus-lumus memberi galakan menyertai IBBC dan MBBC dan menemaninya pada pertandingan IBBC.

“Terima kasih tidak terhingga kepada Pengarah Pusat Perkhidmatan dan Penyelidikan Neurosains Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Jafri Malin Abdullah dan Pensyarah Perubatan USM merangkap ketua projek MBBC 2017 Prof Madya Dr Muzaimi Mustapha.

“Jutaan penghargaan juga buat mentor saya bagi persediaan pertandingan ini, semua guru sekolah, rakan, pihak persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), serta ahli keluarga serta semua yang mendoakan kejayaan saya,” katanya.

IBBC 2017 anjuran Persatuan Psikologi Amerika (APA) bertujuan memberi motivasi kepada pelajar berumur 13 hingga 19 tahun untuk mengkaji otak dan memberi inspirasi kerjaya dalam neurosains asas dan klinikal.

Pelajar diuji berdasarkan pengetahuan mereka mengenai otak manusia dengan topik termasuk kecerdasan, emosi, memori, tidur, penglihatan, pendengaran, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson, skizofrenia, ketagihan dan penyelidikan otak.

Pertandingan membabitkan ujian lisan, ujian makmal neuroanatomy dengan otak manusia yang sebenar, ujian neurohistologi, dan komponen diagnosis pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Ogos 2017 @ 6:48 AM