Hairuddin gesa tunggakan gaji segera diselesaikan. Foto fail
Hairuddin gesa tunggakan gaji segera diselesaikan. Foto fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM) menyambut baik pelaksanaan hukuman pemotongan mata oleh Kerjasama Liabiliti Bola Sepak Malaysia Berhad (FMLLP) yang dikenakan terhadap empat pasukan Liga Malaysia (Liga-M).

Presiden PFAM, Hairuddin Omar, dalam kenyataan hari ini, menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan hukuman berkenaan yang disifatkan semakin sinonim dalam kalangan pasukan Liga-M. Menurut beliau, hukuman itu bakal menjadi pengajaran terhadap semua pasukan bertanding kerana kegagalan dalam menguruskan gaji pemain adalah kesalahan yang dipandang serius.

"Isu tunggakan gaji merupakan isu sering berlaku dalam kancah bola sepak tempatan.

Kegagalan pasukan menguruskan gaji pemain adalah merupakan satu kesalahan yang serius dan berat.

"PFAM percaya, menerusi tindakan pemotongan mata dan 'transfer ban' dapat menjadi satu pengajaran kepada pasukan yang dikenakan tindakan dan juga menjadi peringatan kepada pasukan lain," katanya.

Dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan T-Team antara empat pasukan yang dikenakan hukuman pemotongan enam mata berkuat kuasa serta merta ekoran kegagalan melengkapkan pengesahan penyertaan pertandingan liga terbabit yang berakhir pada Disember 2016.

Dua pasukan Liga Perdana, Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut menerima nasib sama selepas gagal menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh ditetapkan.

Dalam pada itu, PFAM menggesa supaya pasukan dikenakan hukuman berkenaan segera menyelesaikan tunggakan gaji itu bagi memastikan integriti industri bola sepak tempatan terpelihara menerusi kebajikan para pemain yang tidak diabaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 12:17 PM