Azura berkata segmen sejam akan tampil Dayang Nurfaizah dan Zainal. FOTO AGENSI
Azura berkata segmen sejam akan tampil Dayang Nurfaizah dan Zainal. FOTO AGENSI
Michelle Gun


Kuala Lumpur: Buat kali pertama, stesen radio Kool FM memperkenalkan segmen baru berjudul Akustikool yang menampilkan artis hebat menyanyi secara langsung kepada pendengar.

Ketua Unit Program Kool FM, Nik Nor Azura Nik Mahmood berkata, segmen satu jam itu akan bermula dengan nyanyian akustik Dayang Nurfaizah esok, diikuti Datuk Zainal Abidin pada 30 Disember ini.

"Ini kali pertama Kool FM membuat program sedemikian dan pendengar boleh mendengar artis popular menyanyi lagu pilihan secara akustik pada jam 7.30 pagi hingga 8.30 pagi," katanya.

Nor Azura berkata, Dayang dan Zainal terpilih sebagai penyanyi pertama segmen itu berdasarkan populariti serta kejayaan besar mereka dalam industri muzik tanah air.

"Dayang antara penyanyi wanita paling berpengaruh pada dekad ini. Dia memulakan karier seninya pada usia 18 tahun dan sudah pun meraih pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara.

“Zainal pula terkenal dengan lagu genre ‘world music’ dan kerohanian yang banyak berkisar mengenai kasih sayang, kemanusiaan dan alam sekitar melalui liriknya," katanya.

Menurutnya, Akustikool turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook Live di laman Facebook rasmi Kool FM.

Maklumat lanjut mengenai Akustikool boleh melayari laman web www.koolfm.com.my.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2016 @ 6:23 PM