Lokasi kejadian ibu dipukul anak menggunakan tombak hingga mati di Kampung Linau, Kota Belud. FOTO ihsan PDRM
Lokasi kejadian ibu dipukul anak menggunakan tombak hingga mati di Kampung Linau, Kota Belud. FOTO ihsan PDRM
Junaidi Ladjana

 

[email protected]

 

Kota Belud: Seorang wanita maut selepas dipukul menggunakan tombak oleh anak lelakinya yang sakit mental dalam kejadian di rumah tidak bernombor di Kampung Linau, Kota Belud, jam 10.40 malam tadi.

Mangsa, Teh Jari, 57, bekerja sebagai petani ditemui berlumuran darah di ruang tamu rumahnya oleh seorang lagi anaknya sebelum dibawa ke Hospital Kota Belud sebelum disahkan meninggal dunia pada 4.40 pagi, hari ini.

Difahamkan, sebelum kejadian seorang lagi anak mangsa yang tinggal bersebelahan rumah mangsa terdengar jeritan meminta tolong dari rumah ibunya.

Tanpa berlengah, dia segera ke rumah dan melihat adiknya (suspek) bergegas keluar meninggal rumah dan pemeriksaan seterusnya menemui ibunya dalam keadaan berlumuran darah.

Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kota Belud dengan bantuan penduduk kampung sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di hospital berkenaan akibat parah di bahagian tangan, dada dan muka.

Selepas itu, laporan polis dibuat dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud berjaya memberkas suspek terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Mangsa dipercayai dipukul menggunakan tombak sebelum disahkan meninggal dunia akibat parah di bahagian tangan, dada dan muka.

"Suspek berusia 28 tahun sakit mental dan pernah dirawat di Hospital Mesra, Bukit Padang, Luyang, Kota Kinabalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2017 @ 11:36 AM