PISAU yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
PISAU yang dirampas polis. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


BERANG selepas dituduh mencuri telefon bimbit, lelaki menikam rakan sekerja sehingga mati di rumah kongsi ICT, dekat Sipitang, malam tadi.

Dalam kejadian 11.30 malam itu, mangsa lelaki berusia 21 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Sipitang akibat kecederaan di perut.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Sabarudin Rahmat berkata, hasil siasatan awal mendapati berlaku perselisihan faham dan pertengkaran mangsa dengan rakan sekerja.

"Mangsa dikatakan mencari telefon bimbitnya di rumah suspek lalu berlaku pertengkaran sebelum suspek menikam mangsa di perut menggunakan pisau.

"Mangsa terjatuh dan tidak sedarkan diri lalu dibawa ke Hospital Sipitang dan didapati mangsa telah meninggal dunia," katanya ketika dihubungi, hari ini.

SABARUDIN Rahmat
SABARUDIN Rahmat

Sabarudin berkata, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan suspek, 1.30 pagi tadi dan merampas pisau yang disyaki digunakan ketika kejadian itu.

"Polis memberkas suspek dalam tempoh dua jam dan siasatan mendapati ketika kejadian mangsa dan suspek dikatakan mabuk.

"Suspek lelaki berusia 36 tahun direman bagi membantu siasatan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 5:16 PM