Junaidi Ladjana


WANITA warga emas maut ditikam suaminya dalam kejadian di rumah kongsi pekerja kilang didiami mereka di Jalan Teluk Likas, Likas, hari ini.

Malah, suspek turut membakar rumah kongsi berkenaan.

Difahamkan, kejadian itu disedari oleh jiran yang juga rakan sekerja mangsa selepas terdengar pergaduhan antara mangsa yang berusia 62 tahun itu dengan suaminya akibat masalah rumah tangga, kira-kira 2 pagi.

Bagaimanapun, suspek menjerit supaya tidak mencampuri urusan mereka sebelum menutup pintu.

Jiran yang bimbang keselamatan mangsa kemudian menghubungi anak lelaki mangsa.

Sebaik tiba, anak mangsa mendapati rumah berkenaan berasap sebelum merempuh masuk menyelamatkan ibunya dan memadam kebakaran.

Mangsa yang parah akibat ditikam menggunakan pisau di bahagian tubuhnya oleh suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS), di Likas sebelum disahkan meninggal dunia.

Suspek diberkas pasukan polis selepas cuba melarikan diri. FOTO Junaidi Ladjana
Suspek diberkas pasukan polis selepas cuba melarikan diri. FOTO Junaidi Ladjana

Sepasukan polis yang tiba sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu cuba menenangkan suspek dan mengarahnya untuk menyerah diri.

Namun suspek enggan malah bertindak agresif membaling benda keras ke arah anggota polis dan sekali lagi membakar rumah berkenaan tetapi berjaya dipadamkan oleh pasukan bomba.

Sebaik api dipadamkan, suspek enggan keluar dan bersembunyi di bawah kolong rumah kongsi berkenaan walaupun beberapa kali diarah menyerah diri.

Selepas setengah jam, suspek akhirnya diberkas selepas dia cuba melarikan diri melalui tingkap rumah di bahagian dapur.

Suspek yang turut luka di leher akibat terkena zink ketika bersembunyi kemudian di bawa ke Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE 2) untuk rawatan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji ketika dihubungi berkata, suspek berusia 60-an berjaya diberkas pasukan polis dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Jun 2019 @ 9:11 AM