LOKASI kejadian mangsa ditetak dengan parang sehingga mati di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Lokan, Beluran, petang semalam. FOTO ihsan polis
LOKASI kejadian mangsa ditetak dengan parang sehingga mati di ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Lokan, Beluran, petang semalam. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


BERANG dicabar dan diajak bergaduh berulang kali, seorang lelaki menetak birasnya hingga mati dengan parang di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Lokan, Beluran, petang semalam.

Mangsa, Rizal Daming, 40, ditemui oleh adiknya pada 6.30 petang dalam keadaan terbaring dan kedua-dua tangan, muka dan kepala berlumuran darah akibat ditetak sebelum membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V Shivananthan berkata, siasatan awal mendapati sebelum kejadian mangsa dikatakan mencabar dan mengajak suspek yang juga birasnya untuk bergaduh.

“Suspek mulanya enggan dan mengelak untuk bergaduh, namun mangsa terus mencabar. Suspek kemudian menuju ke rumah rakannya lalu mengambil parang panjang.

“Suspek kemudian menghampiri mangsa dan tiba-tiba terjatuh lalu mangsa mengeluarkan sebilah pisau yang diselit di pinggangnya dan terus menikam leher suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian beredar manakala suspek yang cedera di leher bangun dan mengejar dengan parang.

“Ketika berada di kawasan ladang kelapa sawit, suspek kemudian menetak mangsa berkali-kali dengan parang di kedua-dua tangan, muka dan kepala mangsa sebelum pulang ke rumah dan melarikan diri dengan isterinya,” katanya.

Beliau berkata, mangsa yang parah kemudian dibawa ke Hospital Beluran oleh adiknya dan disahkan meninggal dunia.

“Suspek yang melarikan diri selepas kejadian ditahan 9 pagi tadi. Polis turut merampas sebilah parang disyaki digunakan suspek yang disembunyikan di dapur rumahnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 April 2018 @ 9:14 PM