Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB) menjangkakan perolehan industri perniagaan perkhidmatan wang (MSB) berkembang pada kadar lima peratus tahun ini sejajar dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Presidennya Ramasamy K Veeran berkata, berdasarkan Laporan Kestabilan Kewangan dan Sistem Pembayaran Bank Negara Malaysia (BNM) 2016, jumlah dagangan industri MSB meningkat sebanyak 14.62 peratus kepada RM118.4 bilion daripada RM103.3 bilion pada tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, perolehan itu boleh melepasi jumlah jangkaan bergantung kepada kedatangan warga asing ke negara ini dan penduduk tempatan melancong ke luar negara.

“Antara mata wang perolehan tertinggi dari ASEAN ialah baht Thailand, rupiah Indonesia dan dolar Singapura serta riyal Arab Saudi.

“Bagaimanapun, yang mengejutkan dolar Amerika yang tiada dalam senarai kedudukan tertinggi, tetapi termasuk dalam 10 mata wang paling terkenal,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan kaji selidik penanda aras dan anugerah MSB untuk menilai tahap pengalaman pelanggan terhadap industri itu yang menggunakan piawaian global serta mengiktiraf syarikat yang berjaya membuka lembaran baru untuk pelanggan.

“Inisiatif ini penting berikutan peserta MSB berurusan dan memberi perkhidmatan kepada jutaan orang terutama pelancong dan tahap perkhidmatan menjadi faktor penentu utama.

“Kita turut melantik organisasi perundingan dan penyelidikan global iaitu Frost & Sullivan untuk menjalankan kajian yang dijangka keputusannya diperoleh secara bebas dan berintegriti selain menerima piawaian peringkat global.

“Sebanyak 124 syarikat ahli mengambil bahagian untuk menilai pengalaman pelanggan mereka membabitkan 298 rangkaian dan lebih 3,000 temu bual pelanggan secara bersemuka dijalankan oleh Frost & Sullivan bagi mengetahui pengalaman mereka selepas selesai melakukan urus niaga,” katanya.

Menurutnya, anugerah penanda aras dan pengalaman pelanggan akan diberikan kepada ahli yang menunjukkan kepimpinan dan komitmen untuk meningkatkan pengalaman pelanggan dan menyediakan perkhidmatan yang cemerlang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 6:04 AM