WAN Ahmad Kamal pada sidang media TM Biz Fusion 2016.
WAN Ahmad Kamal pada sidang media TM Biz Fusion 2016.
Lizam Ridzuan

Kuala Lumpur: Telekom Malaysia Berhad (TM) mensasarkan segmen enterpris menyumbang peningkatan satu digit kepada perolehan syarikat pada tahun ini.

Pada tahun lalu, segmen berkenaan mencatatkan 16 peratus kepada keseluruhan perolehan syarikat iaitu sebanyak RM11.72 bilion.

Naib Presiden Eksekutif Jualan Enterprisnya, Wan Ahmad Kamal Wan Halim berkata segmen teknologi informasi & komunikasi (ICT), keterhubungan (connectivity) dan Business Process Outsourcing (BPO) masing-masing berkembang dengan baik dan memiliki lebih 10,000 pelanggan di seluruh negara.

“Berbekalkan infrastruktur luas rangkaian TM, pusat data, ICT dan penyelesaian BPO kami menyediakan kemudahan bersepadu untuk memenuhi kemajuan dunia korporat yang kini sentiasa berhubung melalui digital,” katanya ditemui ketika sidang media TM Biz Fusion 2016, di sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak empat lokasi TM Biz Fusion diadakan dan yang pertama pada minggu lalu di Johor Bahru dengan dihadiri lebih 130 pelanggan daripada industri pembuatan, di Kuala Lumpur (200 pelanggan) dan seterusnya di Subang Jaya (10 Mei) dan Pulau Pinang (12 Mei).

“Sebagai peneraju penyedia perkhidmatan komunikasi berintegrasi di negara ini kami mahu menawarkan kepada pelanggan nilai yang lebih besar dan platform dinamik seperti Pengkomputeran Awan, Perkhidmatan Pintar, Internet of Things (IoT) dan Big Data untuk memajukan perniagaan mereka,” katanya.

Selain itu, tawaran yang diberi juga bertujuan bagi menawarkan pengoperasian lebih efisien untuk syarikat pelanggan TM Enterpris dengan eko-sistem yang bersepadu dan membolehkan mereka menumpukan kepada perniagaan dan jualan lebih baik.

Sehingga kini ada 13 pusat simpanan data kendalian Vads Berhad iaitu anak syarikat milik TM dan dua daripadanya di Los Angeles dan Hong Kong sebagai memenuhi permintaan penyelesaian perniagaan yang semakin meningkat dalam dan luar negara.

Antara penceramah TM Biz Fusion 2016 ialah Ketua Industri Frost and Sullivan, Shailendra Soni, Ketua Pegawai Eksekutif Vads Berhad, Massimo Miqliuolo, Penolong Pengurus Besar Penyelesaian Vertical Runcitan, Vads Berhad Vishnu Shankar Suriya Narayana Raja dan Naib Presiden Eksekutif, Process Outsourcing, Vads Berhad, Datin Mohana Mohariff.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mei 2016 @ 6:45 AM