NAIM bersama ibu bapanya ketika membuat pameran lukisannya di Naim The Artist Showcase, Livello Uno.
NAIM bersama ibu bapanya ketika membuat pameran lukisannya di Naim The Artist Showcase, Livello Uno.
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Mula berjinak-jinak melukis secara sembunyi-sembunyi di bawah meja hingga kerap kali 'terkantoi' dengan guru kerana gagal memberi tumpuan ketika belajar dalam kelas.

Itu permulaan bakat kesenian Naim Hamid Hamidin, 14, disedari ibu bapanya selepas banyak menerima aduan daripada gurunya bahawa dia lebih gemar melukis daripada belajar dalam kelas.

Bermula daripada hanya menghasilkan lukisan dua ekor ikan emas pada usianya lapan tahun, siapa sangka potensi Naim Hamid kini semakin menyerlah dan berjaya menghasilkan lebih 30 lukisan menarik dan mengagumkan seumpama hasil karya pelukis profesional.

Agak membanggakan pada usianya masih muda, Naim menerima penghormatan daripada Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) untuk mempamerkan enam hasil karyanya di Pesta Buku Antarabangsa Riyadh (RIBF) 2017 di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Riyadh (RICEC), Arab Saudi pada 8 hingga 17 Mac lalu.

Naim turut mengharumkan nama negara apabila berjaya menghasilkan satu lukisan minyak potret Raja Salman Abdulaziz Al Saud sebagai cenderahati kepada Penjaga Dua Kota Suci itu sempena pesta berkenaan.

Menurut ibunya Faizah Bazid, 48, dia dan suaminya Dr Hamidin Abd Hamid, 47, mula menghantar anak kedua daripada empat beradik itu ke kelas lukisan di Bangi, Selangor selepas menyedari kecenderungan minat remaja itu terhadap seni lukisan.

“Ketika Naim berada
di tahun dua, kami kerap terima aduan daripada guru mengatakan dia selalu melukis dan tiada tumpuan dalam kelas tetapi pencapaian kad laporan tahunannya tidak pernah mengecewakan.

“Kami akhirnya sepakat menghantar Naim ke kelas belajar melukis setiap hujung minggu supaya dia mendapat latihan dan pendedahan seni lukis lebih sempurna.

“Tidak sangka maklum balas kami terima daripada guru lukisannya amat positif kerana setiap karya dihasilkan Naim begitu cemerlang berbanding usianya yang masih mentah,” katanya ketika ditemui pada pameran pertama anaknya itu ‘Naim The Artist Showcase di Livello Uno’ di Taman Tun Dr Ismail di sini.

Lebih 20 himpunan lukisan pelbagai tema seperti potret, pemandangan laut, perkampungan nelayan dan pergunungan serta haiwan diolah menggunakan medium pensil, akrilik, cat air dan minyak dipamerkan buat pertama kalinya kepada umum dengan kesudian pemilik Livello Uno yang menaja lokasi penganjuran pameran itu.

Kata Faizah, kecenderungan yang ditonjolkan Naim terhadap bidang itu, menyebabkan dia dan suaminya berfikiran terbuka untuk menghantar anak mereka itu bersekolah menengah dalam aliran seni visual di Sekolah Seni Johor di Johor Bahru, Johor, dua tahun lalu.

“Memang falsafah saya dan suami dalam mendidik anak tidak mahu terlalu memberi tekanan, jadi apa saja minat mereka yang baik kami sokong.

“Kami percaya kejayaan dalam hidup bukan bergantung kepada pencapaian akademik saja, memang ia perlu tetapi itu bukan faktor utama dan tidak semestinya yang ambil jurusan seni itu tiada masa depan.

“Apa yang penting sebagai ibu bapa perlu peka serta menyokong kembangkan minat mereka serta jangan terlalu pentingkan diri memaksa anak mengikut kemahuan kita,” katanya.

Sementara itu, Naim Hamid berkata, antara karya yang paling memberikan erti dalam hidupnya ialah lakaran lelaki tua bertongkat dan berkopiah putih kerana mempunyai cabaran tersendiri dalam menyiapkannya.

“Lukisan ini saya buat masa umur saya 12 tahun dan paling saya gemari sebab mahu perincikan bahagian mukanya bukan mudah lebih-lebih lagi menggunakan cat minyak.

“Saya mengambil masa empat hari untuk menyiapkannya kerana makan masa lama untuk tunggu cat kering,” katanya.

Menurutnya, berbanding ketika di sekolah rendah dia kerap 'terkantoi' dan dimarahi guru kerana asyik leka melukis dalam kelas, kini dia sudah pandai membahagikan masa antara akademik dan melukis.

“Sekarang saya boleh seimbangkan antara akademik dan melukis. Kalau waktu akademik saya fokus akademik dan begitulah sebaliknya kerana saya juga tidak mahu ketinggalan dalam pelajaran.

“Saya harap dapat memperbaiki lagi kemahiran melukis saya dan menghasilkan karya lebih mencabar dan perincikan lagi lukisan bertemakan pemandangan.

“Saya mahu jadi macam idola saya Pak Jaafar (pelukis dan kartunis tanah air Jaafar Taib) karyanya sangat terperinci, memukau dan realistik," katanya yang mahu menjadi pelukis animasi tiga dimensi (3D).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 8:25 AM