AKSI bersahaja Freida sewaktu melukis pemandangan (gambar kiri). Lukisan wajah warga emas yang diselubungi duka.
AKSI bersahaja Freida sewaktu melukis pemandangan (gambar kiri). Lukisan wajah warga emas yang diselubungi duka.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Lukisan unik dengan makna tersendiri menjadikan nama Freida Saleem ND mula dikenali.

Satu ketika dahulu, seni lukisan yang diolah gadis ini pernah dihina dan dipandang rendah serta lebih menyedihkan apabila ada individu memaksanya supaya berhenti daripada berkarya kerana karya dihasilkan dianggap tidak berkualiti selain tidak mampu menjamin masa depannya.

Namun perkara itu tidak sedikit pun mematahkan semangat gadis kecil dan comel ini untuk berhenti berkarya, sebaliknya menjadikan kata-kata hinaan itu sebagai cabaran untuk terus berjaya.

Dikenali dengan nama pena Freida Saleem ND, 24, gadis cukup ‘low profile’ ini berasal dari Cherating, Kuantan, Pahang.

Karyanya cukup memukau selepas bakat melukis disedari sejak kecil digunakan sebaiknya dan diperkukuhkan dengan hanya berpandukan laman sosial serta nasihat rakan-rakan seperjuangan.

Berkarya secara serius mulai 2013, Freida semakin dikenali kerana lukisannya lebih menjurus kepada penceritaan, situasi dan identiti individu.

Bermula dengan minat melukis termasuk kartun dan pemandangan, Freida mula mencari kelainan apabila lukisannya mendapat pujian ramai.

Menurutnya, setiap lukisan yang dihasilkannya diolah secara terperinci bagi menggambarkan sesuatu suasana dan memerlukan ‘mood’ sesuai untuk mendapatkan lukisan berkualiti.

“Setiap pelukis perlu ada ‘mood’ tersendiri bagi menghasilkan karya mereka dan kadangkala lukisan yang dilakar memakan masa berbulan-bulan untuk disiapkan.

“Berbeza pula bagi saya apabila setiap kali melukis, saya memerlukan ‘mood’ sedih kerana dari situ dapat meluahkan kesedihan di dalam lukisan.

“Daripada situasi itu juga kadangkala pelbagai ilham dan terhasillah beberapa lukisan yang unik serta membawa maksud tersendiri,” katanya.

Setiap karya yang dihasilkan biasanya dirujuk dulu kepada rakan-rakan yang lebih berpengalaman bagi memastikan seni dihasilkan bermutu dan mampu diketengahkan.

“Disebabkan saya antara segelintir pelukis wanita, pergerakan saya terbatas untuk bergaul dengan pelukis lain yang majoritinya begitu berpengalaman luas.

“Justeru, saya memilih untuk berhubung di laman sosial dan laman sesawang bagi mendapatkan nasihat, tunjuk ajar di samping mempromosikan lukisan dihasilkan,” katanya.

Beliau bersyukur walaupun hanya berkarya di rumah dan memaparkan hasil lukisan dalam talian, rezeki yang diterima tidak putus berkat sokongan serta panduan rakan seni lain.

Beliau berhasrat untuk mengetengahkan bakat seni melukisnya kepada umum melalui agensi berkenaan, namun masih belum berpeluang.

Selain lukisan biasa, Freida turut berbakat melukis mural dan doodle.

Bagi yang ingin melihat seni lukisan gadis comel ini, bolehlah melayari laman sosial dan Instagram Freida Saleem ND.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2017 @ 6:20 AM