Kerja-kerja pembersihan dimulakan oleh pekerja dan petugas Jabatan Amal Malaysia. FOTO Hairulazim Mahmud
Kerja-kerja pembersihan dimulakan oleh pekerja dan petugas Jabatan Amal Malaysia. FOTO Hairulazim Mahmud
Hairulazim Mahmud


Alor Setar: Kerja-kerja pembersihan sudah dimulakan di tapak ekspo Muktamar Tahunan PAS ke-63, awal pagi ini, selepas sebahagiannya musnah dilanda ribut, malam tadi.

Kren ringan dan pekerja mula mengumpulkan beberapa palang besi serta kanvas khemah yang bertaburan sambil dikawal ketat oleh anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia milik PAS.

Petugas media tidak dibenarkan mendekati lokasi kejadian manakala peniaga juga tidak dibenarkan masuk atas faktor keselamatan.

Berikutan kejadian ribut selepas azan Maghrib, malam tadi, terdapat juga kaca tingkap dan pintu bangunan Kompleks PAS Kota Sarang Semut yang pecah.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dalam taklimat khas sebelum sesi muktamar, pagi ini, memaklumkan bahawa agenda persidangan diteruskan sehingga selesai esok.

"Jawatankuasa PAS Pusat melalui panitia muktamar membuat keputusan meneruskan muktamar.

"PAS mengucapkan takziah kepada mereka yang menerima kesan kejadian itu. Kita dukacita tapi menerima hakikat inilah takdir Allah yang perlu kita terima setelah segala segala daya usaha kita ambil," katanya.

Dalam kejadian, malam semalam, beberapa khemah Kelab Usahawan Haraki PAS yang menempatkan agensi kerajaan dan persendirian musnah akibat dipukul ribut.

Sembilan belas orang cedera dalam kejadian ribut berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 9:50 AM