Perwakilan mendengar ucapan penangguhan dan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-62 oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, pada 2016. FOTO arkib NSTP
Perwakilan mendengar ucapan penangguhan dan penggulungan Muktamar Tahunan PAS Ke-62 oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa, pada 2016. FOTO arkib NSTP
Hairulazim Mahmud


Alor Setar: "Kita buat lebih kurang macam Taklimat Presiden UMNO tapi kita panggil Amanat Presiden pada malam sebelum muktamar," kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan.

Katanya, kandungan amanat itu antaranya ialah perkara yang tidak akan diucapkan oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang semasa ucapan dasar pada Sabtu ini.

Katanya, perwakilan yang hadir juga akan dimaklumkan berkaitan isu penting dan sensitif yang mungkin dibangkitkan sepanjang muktamar.

Beliau berkata demikian pada sidang media menjelang Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-63 di Kompleks PAS negeri, di sini hari ini.

Taklimat Presiden adalah amalan tradisi setiap kali Perhimpunan Agung UMNO diadakan.

Ia dijalankan secara tertutup yang dihadiri oleh perwakilan.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, terdapat 30 usul yang dikemukakan oleh PAS Kawasan.

Katanya, usul itu dibahagikan kepada empat kategori iaitu usul ditolak, usul diterima tanpa bahas, usul yang akan dibahaskan dan usul yang diterima kemudian diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk dibuat keputusan.

"Ini perbezaan kita dengan parti lain," katanya.

Beliau berkata, Jawatankuasa PAS Pusat akan menentukan pembahagian kategori terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:38 PM