FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Hairulazim Mahmud dan Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Nasib empat calon Naib Presiden PAS akan ditentukan oleh 1,200 perwakilan pada pemilihan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang akan bermula jam 4 petang ini sempena Muktamar Tahunan PAS ke-63.

Mereka ialah tiga penyandang iaitu Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor Datuk Iskandar Abdul Samad.

Turut dicalonkan bagi jawatan itu ialah Ketua Penerangan PAS yang juga Ahli Parlimen Temerloh Nasruddin Hassan.

Mereka akan dipilih melalui sistem pengundian elektronik (e-undi) yang julung kali diadakan oleh parti itu di Kompleks PAS Kota Sarang Semut di sini.

Dikatakan Iskandar akan kekal berikutan latar belakang beliau sebagai profesional yang tidak akan diketepikan oleh perwakilan.

Mereka tidak mahu semua jawatan itu disandang oleh 'geng ustaz' semata-mata.

Lagipun dengan mengekalkan Iskandar maka PAS akan dapat menangkis tohmahan dan fitnah kononnya parti itu mengenepikan profesional.

Sebelum ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengekalkan jawatan masing-masing apabila menang tanpa bertanding selepas proses pencalonan selesai.

Abdul Hadi, 69, memegang jawatan Presiden PAS sejak 2002 menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Noor manakala Tuan Ibrahim, 56, memegang jawatan kedua tertinggi parti itu sejak 2015.

Manakala bagi jawatan 18 Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, seramai 26 calon disahkan bertanding.

Keputusan bagi pemilihan berkenaan akan diumumkan pada Isnin ini iaitu hari terakhir sidang muktamar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 April 2017 @ 2:43 PM