Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


Ketika berhadapan cabaran berjuang di pentas Gema Gegar Vaganza (GGV), kumpulan Hijjaz juga diuji membabitkan bayaran untuk Konsert 3 Kejora Bersatu yang berlangsung di Istana Budaya pada 7 dan 8 Oktober lalu.

Sehingga kini, mereka belum menerima baki bayaran persembahan daripada penganjur selepas menerima pendahuluan 25 peratus.

Kumpulan dianggotai Munif Ahmad, 43, Isman Nadim Isam, 48, Mohd Faizal Osman, 44, dan Muhammad Ariffin Ahmad, 38, itu ada membuat susulan mengenai baki bayaran melalui panggilan telefon dan pesanan WhatsApp kepada penganjur tetapi tiada sebarang alasan diberikan.

Dalam nada kecewa, Isman mewakili anggota Hijjaz berkata, mereka belum menerima baki bayaran persembahan daripada pihak Kay Event Management and Services untuk konsert yang turut dijayakan Brothers dan Rabbani.

Katanya, penganjur terus berdiam diri hingga ke hari ini membuatkan mereka terasa dianiaya.

“Peliknya, penganjur masih berada dalam grup WhatsApp konsert itu tetapi langsung tidak memberi respons apabila ada ahli bertanyakan mengenai isu itu,” katanya.

Menurutnya, walaupun Hijjaz menyanyikan lagu dakwah, penganjur tidak seharusnya menjadikan ia sebagai alasan untuk tidak menghargai usaha mereka sebelum ini.

“Ya! Kami menyanyi lagu nasyid sebagai usaha dakwah tapi janganlah mengambil kesempatan. Dakwah tetap berdakwah tapi kami juga ada tanggungjawab lain yang harus dilunaskan,” katanya.

Isman berkata, mereka masih membuka laluan untuk berbincang dan mencari penyelesaian terbaik berbanding mengambil tindakan undang-undang kerana melanggar perjanjian.

Katanya, mereka mengambil sikap profesional dan masa sama tidak mahu masyarakat memandang serong kepada kumpulan nasyid sekiranya membawa isu itu ke peringkat mahkamah.

“Memang ada kumpulan lain membawa isu itu ke tengah tetapi itu adalah hak mereka untuk melakukannya. Harapan kami, penganjur dapat menyelesaikan perkara ini sebaik mungkin,” katanya.

Selain Hijjaz, Brothers dan Rabbani, konsert itu turut menampilan Afad Raihan dan Nazrey Johari. Afad didakwa sudah membuat laporan polis terhadap penganjur pada 7 Februari lalu.

Gembira tambat hati juri

Dalam perkembangan lain, Hijjaz bersyukur dan gembira kerana persembahan mereka di pentas Gema Gegar Vaganza (GGV) setakat ini belum pernah mengecewakan juri dan penonton.

Minggu lalu mereka berjaya mendapat tempat pertama dan dinobatkan pemenang Anugerah Gema Terindah kategori Irama Terkesan melalui lagu Selimut Putih.

Pada konsert minggu pertama, Hijjaz juga berjaya menambat hati juri untuk menduduki tangga pertama melalui lagu mereka sendiri, Sumayyah.

Kata Isman, mereka amat bersyukur dan setiap minggu cuba memberikan yang terbaik. Apabila diberi tugasan, mereka tidak mengambil mudah perkara itu.

“Kami duduk berbincang dan tidak mengambil mudah walaupun ada yang berkata lagu Selimut Putih ‘makanan’ kami. Konsep persembahan tersebut datang selepas kami memerah idea,” katanya.

Isman juga berterima kasih kepada tenaga produksi yang banyak membantu menzahirkan idea persembahan mereka setiap minggu.

Di segi cabaran, Hijjaz akui cabaran utama ialah mereka sendiri sebab faktor sudah lama berada dalam industri, yakni hampir 30 tahun sedari zaman bersama kumpulan Nada Murni lagi. Disebabkan itu juga tekanan kuat terletak di bahu mereka.

Hijjaz bersyukur apabila diterima masuk ke dalam GGV dan bersetuju memasuki program itu atas dasar memberi sokongan kepada penasyid, bukan kemenangan.

“Kami anggap ia peluang untuk irama nasyid kembali ke arus perdana. Kami beranikan diri demi nasyid walaupun peringkat awal agak berat untuk menerimanya.

“Biarpun lagu yang diterima setiap minggu adalah dari genre pelbagai, kami bersyukur berjaya merealisasikannya. Apabila menang pada minggu pertama, kami sudah meletak penanda aras untuk Hijjaz,” katanya.

Hijjaz juga dalam proses menyiapkan album ke-21 mereka selepas sering ditanya peminat. Kali terakhir mereka mengeluarkan album ‘tribute’ kepada masyarakat Gaza dan Syria, pada 2015 bersama MAPIM (Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia).

Hasil penjualan album itu diserahkan sepenuhnya kepada MAPIM yang bertanggungjawab menyampaikan sumbangan kepada mangsa peperangan di dua negara bergolak itu.

Kata Isman, mereka sudah muncul dengan 20 album dan sudah tiba masa untuk memberi semula kepada masyarakat.

“Sekarang adalah tahap perjuangan, bukan lagi tahap mencari glamor,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 April 2017 @ 5:40 AM