Hijjaz.
Hijjaz.
Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Kumpulan nasyid terkenal, Hijjaz tidak kisah jika ada pihak mempertikaikan tindakan mereka merakamkan semula lagu Tiada Kata Secantik Bahasa (TKSB) 2020 nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee sebagai jalan mudah.

Anggota kumpulannya, Isman Isman Nadim Isam berkata, TKSB 2020 diberi nafas baharu dengan liriknya adalah berunsurkan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad.

"Kami sudah lama tidak tampil dengan single terbaharu. Lagipun apabila difikirkan semula, lagu baharu mungkin memakan masa sedikit untuk diterima. Dalam keadaan sekarang, ramai penyanyi tidak menghasilkan album  lagi tetapi memilih tampil dengan single. 

"Kami tidak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakan kami ini. Kami tidak melakukan kesalahan pun, sebaliknya kami hanya ingin mengajak peminat untuk bersama-sama berselawat. 

"Kami juga sebenarnya cuba membawa kelainan. Kami tidak mahu nasyid berada pada takuk sama sebab itu kami bekerjasama dengan penyanyi rock dan rap. Selepas ini kami merancang untuk menjalin lebih banyak kerjasama mungkin dengan Joe Flizzow dan SonaOne pula supaya muzik nasyid akan lebih bersifat universal dan diterima semua lapisan masyarakat," katanya.

Menurut Isman, antara sebab lagu TKSB itu dipilih adalah ia mempunyai faktor 'wow' selain sudah dekat di hati peminat muzik tanah air.

"Apabila tampil dengan single, lagu itu perlulah ada faktor 'wow'. Jadi, kami tidak nafikan antara sebab kenapa pilih lagu P Ramlee kerana lagunya memang sudah melekat di hati kebanyakan daripada kita. 

"Malah ketika kami perdengarkan lagu ini kepada golongan yang lebih berusia, ramai yang suka malah ada yang sehingga mengalirkan air mata," katanya.

Lagu terbitan Universal Music Malaysia itu menampilkan kerjasama Hijjaz bersama duo rapper popular, Kmy Kmo dan Lucka Sickta serta bekas peserta program realiti Mentor musim ketujuh, Pasya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 5:11 PM