Norhayati Nordin


MESKIPUN sudah dua dekad memperjuangkan irama nasyid, kebanyakan lagu kumpulan Hijjaz hingga kini masih diminati ramai.

Antara yang mendapat perhatian seperti Pelita Hidup, Fatamorgana, Sumayyah, Rasulullah, Cahaya Ilahi dan Al-Quran Kalamullah.

Namun seiring perkembangan muzik masa kini Hijjaz juga melihat positif dan terbuka untuk merakamkan lagu duet.

Anggotanya, Isman Nadim Isam berkata, kumpulan itu mendapat tawaran syarikat rakaman yang mahu Hijjaz berduet dengan penyanyi dinaungi.

“Siapa penyanyi itu, biar dirahsiakan dahulu kerana belum ada perbincangan kedua-dua pihak dilakukan lagi. Hijjaz pun baru mendapat tawaran dan kami pun tidak bertemu lagi penyanyi berkenaan. Dia penyanyi popular.

“Boleh dikata, penyanyi berkenaan dalam kategori ‘Budak Baru Nak Up’ (BBNU) dan Hijjaz tidak kisah untuk bekerjasama,” katanya.

Ditanya apakah kerjasama itu merangkumi aktiviti rakaman semula lagu lama Hijjaz yang diberi nafas baharu, Isman berkata, ia membabitkan lagu terkini.

“Tiada cadangan menyanyikan lagu lama Hijjaz, tetapi kami diberi peluang dan kepercayaan merakamkan lagu duet baru.

“Bagaimanapun, Hijjaz teruja untuk melakukan kerjasama ini kerana perkembangan muzik masa kini sudah banyak berubah.

“Bukan nasyid tak boleh menarik perhatian, cuma Hijjaz berasakan perlu ada gabungan dengan genre muzik lain,” katanya.

Menurut Isman, apa yang pasti Hijjaz sudah mengambil langkah berani dengan memuatkan elemen rap dalam lagu baharu dihasilkan.

Katanya, lagu berjudul Lafaz Salam adalah percubaan Hijjaz yang mengetengahkan genre pop nasyid dengan sedikit suntikan elemen rap.

“Lagu berkenaan (Lafaz Salam) ciptaan Munif Ahmad manakala liriknya pula ditulis bersama Jeff A to Z dan Ito Lara.

“Ia lagu berkaitan ukhuwah yang berasaskan salam. Dengan ucapan salam diberi, ia adalah doa dan diberi ganjaran oleh Allah,” katanya.

Mengulas kerjasama dengan Jeff A to Z, ia satu peluang buat Hijjaz dalam usaha menerokai genre muzik lain seperti rap.

Selain Isman, Hijjaz yang aktif dalam perjuangan nasyid sejak 1997 turut dianggotai Munif, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 4:30 AM