KUMPULAN Hijjaz memuatkan elemen rap dalam lagu baru mereka berjudul Lafaz Salam.
KUMPULAN Hijjaz memuatkan elemen rap dalam lagu baru mereka berjudul Lafaz Salam.
Norhayati Nordin


KUMPULAN nasyid Hijjaz mengambil langkah berani dengan memuatkan elemen rap dalam lagu baru mereka berjudul Lafaz Salam.

Lagu ciptaan Munif Ahmad serta lirik ditulis bersama Jeff AtoZ dan Ito Lara itu adalah percubaan baru daripada Hijjaz.

Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam berkata, sudah tiba masanya kumpulan itu mengambil langkah berani mencuba muzik baru.

“Kami sekadar mencuba elemen baru berikutan perkembangan muzik masa kini pun sudah banyak berubah.

“Apatah lagi, tidak salah untuk mencuba asalkan matlamat untuk perjuangan memantapkan irama nasyid tetap diteruskan,” katanya.

Menurutnya, lebih dua dekad Hijjaz aktif berjuang dalam nasyid, kumpulan itu tidak pernah berduet dengan artis pop yang lain.

“Jadi, apabila Jeff berminat untuk menjalin kerjasama dengan Hijjaz, maka kami menerima secara positif dan terbuka.

“Ditambah, Hijjaz juga cuba melaksanakan permintaan peminat yang mahu kami berani untuk tampil dengan elemen muzik baru.

“Bukanlah nasyid tak boleh menarik perhatian, cuma Hijjaz cuba menggabungkan beberapa elemen baru menjadi pop nasyid yang disuntik dengan rap sedikit,” katanya.

Isman berkata, Hijjaz juga pernah menunjukkan bakat menyanyi rap mereka ketika menyertai program Gema Gegar Vaganza pada 2017 lalu.

“Ketika itu, kami (Hijjaz) berentap menyanyi rap dengan Miwarna di pentas akhir GGV dan kebanyakan peminat sukakannya.

“Apapun, diharapkan semoga lagu Lafaz Salam yang terbaru daripada Hijjaz akan diterima baik dan tidak menghambakan peminat kami,” katanya.

Selain Isman dan Munif, Hijjaz yang aktif dalam perjuangan nasyid sejak 1997 turut dianggotai Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 3:23 PM