KUMPULAN Hijjaz
KUMPULAN Hijjaz
Norhayati Nordin

Dua dekad memperjuangkan irama nasyid, kumpulan Hijjaz menjadi idola ramai pelapis baru.

Dianggotai Isman Nadim Isam, Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim, Hijjaz juga naib juara program Gema Gegar Vaganza (GGV), tahun lalu.

Namun, Hijjaz kini dilihat makin rancak membabitkan diri dalam misi kemanusiaan mengumpul dana bantuan bersama badan bukan kerajaan (NGO).

Terkini, Hijjaz berganding bahu dengan Persatuan Simpati Masyarakat (Sympathy) yang baru ditubuhkan.

Ketika ditemui baru-baru ini, Isman berkata Hijjaz dan Sympathy giat mengumpul dana RM1 juta untuk disalurkan ke Gaza, Palestin.

“Oleh itu, saya mewakili Hijjaz meminta peminat kami dan masyarakat prihatin di negara ini untuk sama-sama menghulurkan sumbangan.

“Dana ini akan digunakan untuk membeli keperluan seperti makanan, perubatan, pendidikan dan apa yang diperlukan di Gaza,” katanya.

Terdahulu, Isman yang mewakili Hijjaz menghadiri majlis sidang media ‘Masihkah Ada Simpati’ bersama Ketua Pegawai Eksekutif,

Al-Quds Foundation Malaysia, Dr Sharif Abu Shammalah dan Pengerusi SYMPATHY, Abdullah Abdul Hamid di Setapak, Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai Sympathy boleh menghubungi talian 03- 7734 6880 atau e-mel kepada [email protected].

Orang ramai juga boleh melawat ke Instagram (IG):@sympathysociety dan Facebook (FB) di @SYMPATHY.

Menurut Isman lagi, Hijjaz menggunakan populariti yang mereka ada untuk mengajak masyarakat dan syarikat korporat terbabit dalam program itu.

“Bantuan kewangan ini sangat penting kerana golongan kanak-kanak mangsa utama yang menangung keperitan hidup.

“Terus-terang, ketika Hijjaz berpeluang menjalankan misi kemanusiaan di Syria, Palestin dan kem penempatan pelarian Cox’s Bazar Bangladesh, kami sangat tersentuh.

“Sebak melihat keadaan kanak-kanak yang masih kecil terpaksa berdepan ujian besar dalam hidup,” katanya.

Isman berkata di kem Cox’s Bazar Bangladesh, kira-kira 30,000 kanak-kanak pelarian memerlukan ubat cacing.

“Apabila makanan tidak cukup dan persekitaran kurang bersih, kanak-kanak mudah terdedak kepada penyakit.

“Perut besar, berhingus dan mata berair menunjukkan mereka ada masalah cacing yang serius serta perlu dirawat,” katanya.

Menurut Isman, setakat ini Hijjaz sudah berjaya mengumpulkan RM12,000 untuk tujuan membeli ubat cacing.

Berbicara mengenai perkembangan karier seni, Isman memberitahu Hijjaz tidak putus menerima tawaran menyanyi.

“Sejak GGV tahun lalu, rezeki Hijjaz semakin murah. Jadual kami boleh dikatakan padat.

“Insya-Allah, tidak lama lagi Hijjaz akan muncul dengan single terbaru berjudul Simpati.

“Single ciptaan saya ini sudah siap melodi dan liriknya. Hanya menunggu masa sesuai untuk dirakam,” katanya.

Isman berkata single Simpati yang menjurus kepada kisah perjuangan dan motivasi diilhamkan ketika kunjungan misi kemanusiaan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Julai 2018 @ 11:41 AM