Isman (tiga dari kanan) bersama CEO  Al-Quds Foundation Malaysia, Dr Sharif Abu Shammalah (dua dari kiri) dan Pengerusi Sympathy, Abdullah Abdul Hamid (tiga dari kiri). FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Isman (tiga dari kanan) bersama CEO Al-Quds Foundation Malaysia, Dr Sharif Abu Shammalah (dua dari kiri) dan Pengerusi Sympathy, Abdullah Abdul Hamid (tiga dari kiri). FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Norhayati Nordin


KUMPULAN nasyid Hijjaz kini giat mengumpul dana untuk membeli ubat cacing buat kanak-kanak pelarian Rohingya di kem Cox's Bazar, Bangladesh.

Kumpulan Hijjaz (dari kiri) Munif, Ariffin dan Isman. FOTO MAHZIR MAT ISA
Kumpulan Hijjaz (dari kiri) Munif, Ariffin dan Isman. FOTO MAHZIR MAT ISA

Anggota kumpulan itu, Isman Nadim Isam ditemui berkata ubat cacing sangat diperlukan seramai 30,000 kanak-kanak pelarian di kem itu.

“Kunjungan Hijjaz pada misi kemusiaan di Cox's Bazar Bangladesh pada Februari lalu memberi kami maklumat mengenai bantuan yang perlu diutamakan.

“Terus-terang, hati saya sangat tersentuh melihat kesengsaraan ditanggung oleh kanak-kanak pelarian Rohingya itu.

“Apatah lagi, selepas mendapat maklumat mengenai kesihatan mereka daripada pasukan doktor yang bertugas di situ,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah dana yang sudah diperoleh, Isman berkata setakat ini Hijjaz sudah berjaya mengumpulkan sebanyak RM12,000.

Ujarnya, jumlah itu dikumpul menerusi sumbangan peminat Hijjaz di majlis persembahan nyanyian yang disertai.

Hijjaz, kini ligat membabitkan diri dalam misi kemausian turut berganding bahu dengan badan bukan kerajaan (NGO) baru, Persatuan Simpati Masyarakat (Sympathy).

Berbicara mengenai kerjasama dengan Sympathy, Isman berkata Hijjaz tampil membantu mengumpul dana RM1 juta untuk disalurkan ke Gaza, Palestin.

“Justeru, saya mewakili Hijjaz menyeru peminat kami dan masyarakat prihatin di negara ini tampil memberi sumbangan.

“Sumbangan wang ini perlu untuk membantu Sympathy membeli keperluan seperti makanan, perubatan, pendidikan dan apa yang perlu untuk disalurkan ke Gaza,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang inginkan maklumat lanjut mengenai Sympathy boleh menghubungi talian 03-7734 6880 atau e-mel kepada [email protected].

Orang ramai juga boleh melawat ke Instagram (IG):@sympathysociety dan Facebook (FB) di @SYMPATHY.

Menurut Isman, Hijjaz sedaya upaya menerusi sedikit populariti yang ada menggunakannya untuk mengajak orang ramai dan syarikat korporat di negara ini untuk bersama menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan memerlukan.

Selain Isman, anggota lain Hijjaz ialah Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 2:12 PM