Aizuddin Saad melaporkan dari Gaziantep Turki


Ketika Aleppo masih aman, nama restoran Ghajar menjadi sebutan dalam kalangan rakyat Syria khususnya di bandar berkenaan.

Dengan reputasi sebagai usahawan berjaya, Ziyad Ghajar 50, memiliki dua restoran terkenal di Aleppo selepas 27 tahun terbabit dalam perniagaan perkhidmatan makanan.

Bagaimanapun, itu hanya sementara apabila perang saudara tercetus antara rejim Bashar al-Assad dan pemberontak kerajaan pada 2014 memusnahkan seluruh perniagaannya termasuk harta benda lain.

Restoran Ghajar yang diusahakan oleh usahawan Syria, Ziyad Ghajar di Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD
Restoran Ghajar yang diusahakan oleh usahawan Syria, Ziyad Ghajar di Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD

Kemusnahan itu memaksa Ziyad bersama ahli keluarga termasuk anak lelaki dan menantu perempuan yang cedera akibat serangan udara rejim Bashar melarikan diri dari Aleppo dan berhijrah ke kota tenggara Turki ini.

Ziyad dan ahli keluarganya itu adalah antara sebahagian pelarian Syria yang bernasib baik berjaya memasuki Turki secara sah sebelum pintu sempadan dikawal ketat serta sering ditutup manakala konflik bersenjata merebak seluruh Syria.

Kini, beliau gigih membina semula empayar perniagaan sama seperti restorannya yang pernah wujud di Aleppo.

Restorannya yang sudah beroperasi selama tiga tahun di Gaziantep menawarkan makanan tradisional Syria seperti Mashwi, Shawarma, Humus, Shish Kebab dan lain-lain.

Perniagaannya cepat berkembang disebabkan jenama Ghajar sudah sebati dalam kalangan pelarian Syria yang juga populasi dominan di bandar ini mengatasi penduduk tempatan.

Nisbah di bandar ini adalah 1:2 iaitu satu penduduk tempatan kepada dua pelarian Syria dan secara langsung memberi pulangan hasil yang lumayan berikutan mempunyai pelanggan tetap.

 Pemilik restoran, Ziyad Ghajar 50, menunjukkan salah satu menu hidangan di restoran Ghajar miliknya di Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD
Pemilik restoran, Ziyad Ghajar 50, menunjukkan salah satu menu hidangan di restoran Ghajar miliknya di Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD

Ziyad ketika ditemui Harian Metro, di sini, berkata, dia turut merancang untuk melebarkan sayap perniagaannya ke Malaysia.

“Saya sudah bertemu Ketua Pengurusan Media Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) Mohd Aiman Mohd Amir untuk bekerjasama bagi membina cawangan restoran di Kuala Lumpur.

“Melalui perbincangan dua pihak, MLFFS menekankan usaha murni bagi membantu pelarian Syria di Malaysia dengan menyediakan peluang pekerjaan sekali gus menjalani kehidupan lebih baik apabila perjanjian perniagaan terjalin dan direalisasikan.

“Saya amat serius bekerjasama dengan MLLFS untuk mengembangkan perniagaan ke Malaysia. Saya harap cawangan restoran di Kuala Lumpur itu kelak dapat memberikan peluang membantu ekonomi pelarian Syria di Malaysia dengan bekerja di restoran saya nanti yang akan dibuka di Kuala Lumpur.

“Saya rakyat Syria justeru saya amat memahami kesukaran untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang pelarian perang,” katanya.

Beliau memilih lokasi di Malaysia sebagai lokasi yang strategik untuk meneruskan legasi nama Ghajar kerana dimaklumkan mengenai rakyat Malaysia mesra dan selain ekonomi yang stabil.

Bagi MLLFS pula, Mohd Aiman berkata, perjanjian niaga strategik seumpamnya dapat menjana pendapatan secara terus sambil membantu pelarian Syria dan serius mengerakkan projek itu sekali gus mengurangkan kebergantungan wang sumbangan untuk bantuan kemanusiaan kepada pelarian Syria.

Sementara itu, semalam, saya diperkenalkan dengan Hassan Kattan, 25, seorang pembuat filem dokumentari dan baru-baru ini memenangi anugerah Oscar 2017 untuk kategori dokumentari terbaik menerusi dokumentari, The White Helmets.

Dia adalah pengasas Pusat Media Aleppo (AMC) iaitu pusat aktivis media berkumpul dan melaporkan berita serangan sekitar Aleppo.

Hassan berkata, AMC juga pernah menjadi kubu terakhir kepada rakyat Syria di Aleppo seramai 1,500 orang untuk berlindung dari serangan rejim Bashar Al-Assad.

Sambil menikmati burger Ghajar di Restoran Ghajar, saya khusyuk mendengar kisah pembabitannya dalam pembikinan dokumentari The Last White Helmets sehingga merangkul anugerah Oscar 2017.

Aizuddin bersama Hassan (kanan) di Gaziantep, Turki.
Aizuddin bersama Hassan (kanan) di Gaziantep, Turki.

Bermula dengan seorang pengarah dari Amerika Syarikat, Orlando von Einsiedel berkomunikasi dengan Hassan, Khalib Katib dan Fadi Khateib sanggup memberi dana sebanyak USD3,000 (RM13,059) untuk menghasilkan dokumentari mengenai isu pertahanan awam.

Saya dan tiga rakan NGO yang sedang berdebar menunggu keputusan untuk memasuki Idlib iaitu Ketua Pengurusan Media Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) Mohd Aiman Mohd Amir, Komaludin (NGO Indonesia, Daarut Tauhid) dan Sohib Idris (Bonyan Organization) mendapat idea untuk mendokumentasi kisah pasukan penyelamat White Helmets.

Kumpulan sukarelawan Syria, White Helmets sangat terkenal dalam misi menyelamatkan mangsa serangan tembakan dan pengeboman tentera rejim termasuk sukarelawan itu sanggup mengorek runtuhan bangunan untuk mencari mangsa hidup atau mati.

“Kami bersetuju dan berasa inilah peluang untuk memberitahu dunia mengenai situasi yang berlaku di Syria daripada sudut perspektif yang lain.

“Walaupun kos pembikinan sedikit tetapi proses untuk menyiapkan dokumentari itu dapat disiapkan dalam masa tiga bulan sahaja,” kata Hassan.

Menceritakan sepanjang pengalaman ketika melakukan penggambaran, Hassan berkata, pengalaman yang paling tidak boleh dilupakan ketika dalam perjalanan menuju ke satu lokasi pengambaran.

“Sebuah jet pejuang tentera rejim mengikuti secara rapat kenderaan yang kami pandu dan selepas menyedari tindakan jet pejuang itu, kami berasa seperti kenderaan kami akan ditembak jet itu.

“Serta-merta kami memberhentikan kenderaan dan lari menyelamatkan diri. Namun, jet pejuang itu hanya melalui ruang udara atas kenderaan kami,” katanya.

Hassan (kanan) ketika mengarahkan dokumentari The White Helmets di Aleppo, Syria. FOTO AIZUDDIN SAAD
Hassan (kanan) ketika mengarahkan dokumentari The White Helmets di Aleppo, Syria. FOTO AIZUDDIN SAAD

Antara filem dokumentari beliau bersama rakan lain yang pernah hasilkan selain The White Helmets adalah Last Men in Aleppo yang pernah mendapat perhatian umum di Festival Filem Sundance 2017 dan memenangi ‘World Cinema Grand Prize’ untuk kategori dokumentari terbaik.

Dalam pertemuan semalam, Hassan menyatakan hasrat menyertai festival filem di seluruh dunia termasuk Filem Festival Malaysia (FFM).

Wakil MLLFS Mohd Aiman menunjukkan minat bekerjasama dengan Hassan untuk menghasilkan filem dokumentari mengenai kisah perjuangan doktor bertugas dalam suasana perang di Syria dengan menjadi penerbit filem dokumentari itu.

Poster filem dokumentari The White Helmets yang disiarkan di dalam siaran Netflix selepas berjaya mendapat Anugerah Oscar 2017 untuk kategori dokumentari terbaik. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Poster filem dokumentari The White Helmets yang disiarkan di dalam siaran Netflix selepas berjaya mendapat Anugerah Oscar 2017 untuk kategori dokumentari terbaik. NSTP/AIZUDDIN SAAD

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 1:41 AM