Aizuddin Saad melaporkan dari Gaziantep dan Turki


“Assalamualaikum, apa khabar! Kamu orang Malaysia kan!” itu sapaan Aban Al-Mohamad rakyat Syria yang fasih berbahasa Melayu yang kini menetap di Gaziantep.

Apabila berada di negara asing ini, teruja juga disapa sebegitu dan perasaan ingin tahu bagaimana orang Arab itu boleh fasih bahasa ibunda saya.

Saya, Ketua Pengurusan Media Malaysia Life Line For Syria (MLLFS) Mohd Aiman Mohd Amir, wakil NGO Indonesia (Daarut Tauhid) iaitu Komaludin dan NGO Syria dari Bonyan Organization, Sohib Idris ketika itu sedang menikmati makanan tengah hari di Restoran Tulip yang menjual makanan Syria selepas menziarahi Rumah Perlindungan Anak Yatim Darul Salam.

Mulanya saya, Mohd Aiman dan Komaludin menyangka Aban adalah rakan Sohib sebab dia pernah melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) namun Sohib menafikan.

Mohd Aiman (dua dari kiri) bersama wakil Daarut Tauhid, Komaludin (kiri) berbual dengan Aban  dan anak yatim pelarian Syria ketika melawat Rumah Perlindungan Anak Yatim Baitul Karim di Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mohd Aiman (dua dari kiri) bersama wakil Daarut Tauhid, Komaludin (kiri) berbual dengan Aban dan anak yatim pelarian Syria ketika melawat Rumah Perlindungan Anak Yatim Baitul Karim di Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD

Tanda tanya terjawab selepas Aban menjelaskan dia pernah menetap di Malaysia hampir tujuh tahun ketika menyambung pengajian dalam jurusan Pengurusan Acara di Management and Science University (MSU) Shah Alam, Selangor.

Aban, 28, memperkenalkan dirinya sebagai pemilik restoran tempat kami menjamu selera tengah hari itu.

“Mengapa kamu berada di Gaziantep? Pelancong tidak berkunjung di bandar ini. Di sini hanya tempat menumpang pelarian Syria, transit kepada orang yang menyertai Daesh dan pekerja NGO memasuki Syria.

“Dalam erti kata lain, Gaziantep bukanlah tempat selamat dan tidak sesuai untuk pelancong kerana di sini perlu berhati-hati sebelum mempercayai sesiapa dan berkemungkinan mereka adalah orang mempunyai niat tidak baik,” jelasnya sambil menarik kerusi menyertai di meja kami berempat.

Selepas menyatakan tujuan saya dan rakan NGO itu mahu menyampaikan bantuan kecemasan kepada mangsa serangan gas sarin di Idlib, Aban semakin selesa berbual dengan kami.

Malah, dia turut bercerita hampir berkahwin dengan gadis Kedah, namun pinangannya ditolak oleh ibu bapa gadis itu sebelum memutuskan meninggalkan Malaysia dengan menjual perniagaan restoran diusahakan sejurus tamat pengajian di MSU.

Aban berkata, dia sudah tidak berkomunikasi dalam bahasa Malaysia hampir dua tahun selepas berhijrah ke Gaziantep dan sekarang menjawat jawatan Pengurus Besar dalam syarikat Kumpulan Karim yang mempunyai lima anak syarikat.

Mohd Aiman (kiri) berbual dengan Aban selepas melawat Rumah Perlindungan Anak Yatim Baitul Karim di Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mohd Aiman (kiri) berbual dengan Aban selepas melawat Rumah Perlindungan Anak Yatim Baitul Karim di Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD

Habis makan tengah hari, Aban beria-ia menjemput kami berempat untuk melawat Rumah Perlindungan Anak Yatim Baitul Karim diuruskan syarikat keluarganya itu.

Setibanya di sana, kami melihat sebuah bangunan persendirian yang besar mampu menampung sehingga 150 orang termasuk kanak-kanak dan penjaga.

Saya agak kagum dengan tanggungjawab usahawan berjaya seperti keluarga Aban apabila dimaklumkan Rumah Perlindungan Baitul Karim tidak memerlukan mana-mana bantuan dan dana sebaliknya kos operasi ditanggung melalui hasil keuntungan setiap anak syarikat di bawah syarikat Kumpulan Karim.

Aban membawa kami berempat melawat sekitar rumah perlindungan dan menunjukkan kemudahan yang ada disediakan untuk anak-anak yatim.

Lawatan diakhiri apabila seorang anak yatim Syria, Mustafa berusia empat tahun mengalunkan surah Yasin dan Al-Kahfi kepada kami dengan baik sekali.

Pertemuan tak dirancang ini memberi MLLFS idea dan inspirasi untuk melihat sebuah rumah perlindungan anak-anak yatim dari kalangan pelarian Syria yang boleh disifatkan terbaik diuruskan di Gaziantep.

Sementara itu, pada usia lapan tahun kanak-kanak ini melalui pelbagai keperitan hidup termasuk kehilangan kaki kanan selepas rumahnya ditembak kereta kebal rejim Bashar al-Assad di Aleppo.

Ahmad Najjar. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ahmad Najjar. FOTO AIZUDDIN SAAD

Ahmad Najjar berkongsi pengalaman itu melalui Sohid Idris yang menjadi jurubahasa dan menceritakan keperitan dilaluinya termasuk kematian bapa ketika semua ahli keluarganya berkumpul untuk sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Katanya, masih terbayang-bayang diingatannya apabila sebuah kereta kebal datang dan melepaskan tembakan ke arah rumah mereka.

“Tembakan berkenaan meranapkan rumah dan menyebabkan bapa meninggal dunia manakala ahli keluarga yang lain cedera parah.

“Saya ketika itu sedang leka bermain di luar rumah dan tidak sangka tembakan kedua disasarkan ke arah saya menyebabkan saya parah dan kehilangan kaki kanan buat selama-lamanya,” katanya.

Ahmad Najjar berkata, dia bukan saja kehilangan kaki malah sebelah buah pinggang terpaksa dibuang akibat jangkitan dan kini berdepan masalah penghadaman.

“Disebabkan kemudahan dan peralatan yang tidak mencukupi di sebuah hospital di Aleppo, saya dan ibu dihantar ke hospital di Gaziantep, Turki.

“Doktor yang merawat mengesahkan kaki kanan dan sebelah buah pinggang terpaksa dibuang demi menyelamatkan nyawa saya yang sudah kritikal,” katanya ketika ditemui dalam misi kemanusiaan anjuran Malaysia Life Line For Syria (MLLFS).

Ahmad Najjar  berkongsi membaca buku bersama rakan yang lain dan menetap di Rumah Perlindungan Anak Yatim Darul Salam, Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ahmad Najjar berkongsi membaca buku bersama rakan yang lain dan menetap di Rumah Perlindungan Anak Yatim Darul Salam, Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD

Bantuan Syria anjuran Malaysia Life Line For Syria berterusan dan orang ramai masih boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (564810513971) atau Bank Islam (14210010009882) atau ke akaun Sa lam Suriah Resources di akaun CIMB (8602041215).

Maklumkan sumbangan menerusi e-mel kepada [email protected] atau mesej pesanan ringkas dan WhatsApp kepada Syahrir Azfar Saleh di talian 012-2409173.

Ahmad Najjar berkata, lebih setahun tragedi itu berlalu, dia kini sudah mampu mengukir senyuman apabila ditempatkan di Rumah Perlindungan Anak Yatim Darul Salam yang kebanyakkannya adalah kanak-kanak pelarian dari Idlib dan Aleppo.

Pengurus rumah perlindungan itu, Sameer Khanju berkata, seramai 60 anak yatim menghuni penempatan itu yang sebahagiannya hadir bersama ibu atau tanpa ibu bapa selepas cedera diserang tentera rejim.

“Sehingga kini operasi untuk menguruskan rumah ini berdepan kesukaran disebabkan kami kekurangan dana. Sudah enam bulan kami tidak membayar elektrik, air dan sewa sebanyak USD1,800 sebulan yang kini sudah mencecah USD10,800,” katanya.

Bagaimanapun, Sameer bersyukur, pihak MLLFS bekerjasama dengan Bonyan Organization untuk melangsaikan tunggakan sekali gus operasi rumah perlindungan itu dapat diteruskan seperti biasa.

Mohd Aiman (lima dari kiri) dan wakil Bonyan Organization, Sohib Idris (dua dari kiri) meluangkan masa beramah mesra dengan anak yatim pelarian Syria di Rumah Perlindungan Anak Yatim Darul Salam, Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD
Mohd Aiman (lima dari kiri) dan wakil Bonyan Organization, Sohib Idris (dua dari kiri) meluangkan masa beramah mesra dengan anak yatim pelarian Syria di Rumah Perlindungan Anak Yatim Darul Salam, Gaziantep, Turki. FOTO AIZUDDIN SAAD

MLLFS dan Bonyan Organization terbabit secara langsung mengendalikan tiga rumah perlindungan anak yatim sekitar Gaziantep memuatkan 300 anak pelarian Syria dalam usaha memberi bantuan kewangan termasuk membayar kos operasi dan bantuan makanan serta keperluan asas.

Selain dua organisasi itu, agensi sukarelawan MyCorps di bawah Kementerian Belia dan Sukan Malaysia turut serta membantu pengurusan tiga rumah perlindungan anak yatim dengan mengadakan aktiviti pemulihan psikologi antara Januari hingga Februari tahun ini.

Purata usia anak yatim dibawah kendalian MLLFS dan Bonyan Organization lingkungan setahun hingga 14 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 12:14 AM
Anak yatim, Rawa (kiri) meluangkan masa membawa Hannan bersiar-siar di luar Rumah Perlindungan Anak Yatim Darul Salam, Gaziantep, Turki. NSTP/AIZUDDIN SAAD
Anak yatim, Rawa (kiri) meluangkan masa membawa Hannan bersiar-siar di luar Rumah Perlindungan Anak Yatim Darul Salam, Gaziantep, Turki. NSTP/AIZUDDIN SAAD