D-MAX enjin 1.9 liter baharu. FOTO Aizuddin Saad
D-MAX enjin 1.9 liter baharu. FOTO Aizuddin Saad
Lizam Ridzuan

JIKA dibandingkan daripada segi reka bentuk, ramai maklum terdapat jenama lain yang jauh lebih menyerlah.

Namun, andai dilihat daripada sudut prestasi enjin diesel dan penggunaan bahan api efisien, ia adalah yang terbaik dalam kalangan pesaingnya.

Isuzu Malaysia memperkenalkan model Isuzu D-Max 1.9 liter untuk pasaran tempatan baru-baru ini dan menawarkan sesuatu yang istimewa di bawah bonet dengan nadi baharu.

Sebagai pengeluar kenderaan dengan rekod penghasilan enjin yang sudah mencecah 25 juta unit, edisi terbaharu Isuzu menawarkan jentera trak pikap yang pertama di Malaysia menerima penarafan kenderaan cekap tenaga (EEV).

Vroom Metro Ahad berkesempatan memandu ujinya baru-baru ini bagi menilai keupayaan sebenar enjin kompak namun berkuasa itu.

Untuk rekaan luaran, tidak banyak perbezaan ketara kecuali beberapa bahagian yang diberi sentuhan lebih segar seperti bampar hadapan dengan gril bentuk baharu.

Ia kini digandingkan dengan kemasan hitam dan krom yang diluaskan ke lampu hadapan projektor dan lampu nyalaan siang (DRL) kedua-duanya daripada LED.

Lampu hadapan juga boleh dilaras ketinggiannya bagi mengelakkan silau kereta dari arah bertentangan dan cermin sisi lipatan automatik sebaik kenderaan dikunci.

Bampar juga dilengkapi penampilan baharu D-Max dengan kemasan terkini untuk bingkai lampu kabus.

Ia dipasangkan pelekat badan dengan corak rekaan grafik baharu dan rim aloi 18 inci tampil lebih sporty serta memberi kesan untuk pengendalian lebih jimat.

PADANAN rim 18 inci dan corak grafik baharu. FOTO Aizuddin Saad
PADANAN rim 18 inci dan corak grafik baharu. FOTO Aizuddin Saad

Untuk kemudahan keluar masuk barangan di ruang kargo, Isuzu Malaysia juga menyediakan opsyen ciri pintu belakang ringan menggunakan strut serta palang torsion yang boleh dikendalikan dengan satu jari.

Ruang dalaman masih sama dengan sentuhan ciri keselesaan yang ditambah baik.

Material lembut turut dipasang pada beberapa bahagian panel papan pemuka.

Ini diserlahkan dengan kerusi gabungan material kulit dan fabrik, menjadikan perjalanan lebih selesa serta tambah elegan yang memberi kesan kepada pengurangan bunyi bising, getaran dan kekasaran (NVH) sebanyak enam peratus.

RUANG dalaman elegan. FOTO Aizuddin Saad
RUANG dalaman elegan. FOTO Aizuddin Saad

Walaupun ia trak pikap, namun elemen yang diterapkan seakan-akan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Kelebihan yang ditawarkan pula seperti tiga port pengecas USB serta sistem multimedia Illumax bersaiz lapan inci dengan ketersambungan Bluetooth serta telefon.

Bahagian paling penting untuk model ini ialah enjin baru 1,898cc RZ4E-TC Blue Power.

Ia bukan saja menggabungkan teknologi tahan lasak malah berprestasi dan penggunaan bahan api efisien.

Lebih ringan 25 kilogram (kg) menjana kuasa 150 PS pada 3,600 rpm dan daya tork 350 Nm masing-masing meningkat 10 dan sembilan peratus berbanding unit 2.5 liter yang digantikan melalui model 1.9 liter ini.

KERUSI gabungan kulit dan fabrik. FOTO Aizuddin Saad
KERUSI gabungan kulit dan fabrik. FOTO Aizuddin Saad

Walaupun bertambah kuasa namun ia mengekalkan kecekapan bahan api diesel yang meningkat 19 peratus.

Penulis mencubanya pada pelbagai kelajuan dan jalan yang mencatatkan perjalanan sehingga 1,000km dengan satu tangki penuh 76 liter.

Bukan sekadar cekap, enjin ini juga menawarkan 37 peratus kurang geseran antara komponen dalaman untuk jangka hayat penggunaan komponen lebih panjang.

Kotak gear enam kelajuan automatik dan manual juga diperkenalkan untuk kepantasan ketika memintas atau meluncur di lebuh raya dan jalan lasak.

Malah ia dipasang dengan ciri Kawalan Menuruni Bukit (HDC) untuk pengendalian lebih mudah ketika menuruni bukit pada laluan lasak.

SISTEM multmedia dengan navigasi. FOTO Aizuddin Saad
SISTEM multmedia dengan navigasi. FOTO Aizuddin Saad

Selain itu, elemen terbaharu yang ditambah ialah Kawalan Bantu Mula Kenderaan yang meningkatkan tork sebanyak 25 peratus untuk lonjakan lebih pantas tanpa ada ‘turbo lag’ terutama ketika daripada keadaan pegun.

Secara keseluruhan, model Isuzu D-Max 1.9 liter bukan saja memberikan nilai terbaik melalui kos cukai jalan lebih rendah malah dilengkapi ciri keselamatan terbaik.

Antaranya enam beg udara (SRS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Pengagihan Tenaga Brek Elektronik (EBD) dan Bantu Brek (BA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), kamera undur juga Bantu Mula Bukit (HSA).

Enjin Ddi Blue Power berkuasa dengan kelancaran pada pelbagai permukaan jalan menjadikan ia sesuai sebagai jentera ‘cari makan’ atau sekadar untuk gaya hidup.

Kepada yang mahukan kelasakan, prestasi jentera ini terbukti dengan penyertaan model ini dalam Borneo Safari 2019.

RUANG kargo luas. FOTO Aizuddin Saad
RUANG kargo luas. FOTO Aizuddin Saad

Ia ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Putih Magnum, Perak Titan, Hitam Stallion selain tiga warna baharu iaitu Biru Sapphire, Putih Silky Pearl dan Merah Spinel ini.

Terdapat 11 varian ditawarkan untuk pasaran tempatan. Model pandu uji ini daripada Isuzu D-Max 1.9 liter 4x4 Premium dijual pada harga RM115,799 (atas jalan tanpa insurans) dengan lima tahun jaminan atau 150,000km (yang mana lebih dahulu). #vroomHM.

ISUZU D-MAX 1.9 LITER 4X4 PREMIUM

• ENJIN: 1,898cc BluePower Ddi VGS TurboIntercooler

• KUASA MAKSIMUM: 150 PS pada 3,600 rpm

• TORK MAKSIMUM:350Nm pada 1,800 hingga 2,600 rpm

• TRANSMISI: Enam kelajuan automatik dan manual

• KAPASITI TANGKI BAHAN API: 76 liter

• CIRI KESELAMATAN: Enam beg udara (SRS), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS),Pengagihan Tenaga BrekElektronik (EBD) dan Bantu Brek(BA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC),kameraundur, Bantul Mula Bukit (HSA)

• HARGA: RM115,799 (atas jalan tanpa insurans)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 November 2019 @ 6:31 AM