ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan kemalangan.
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan kemalangan.
Oleh Omar Osman


Sungai Petani: Seorang lelaki warga Thailand maut manakala dua rakan senegaranya parah apabila kereta yang mereka naiki bersama tiga lelaki lain terbabit kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Sungai Petani-Alor Setar, berhampiran Bedong, dekat sini, semalam.

Kejadian berlaku jam 6.45 pagi ketika mangsa, Araming Dusong, 34, yang memandu kereta Kia Spectra bersama lima rakannya cuba mengejar masa bagi menaiki kereta api di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Gurun, dekat sini, untuk pulang ke negara mereka.

Bagaimanapun, sebaik tiba di tempat kejadian, kereta mangsa hilang kawalan lalu terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung van kilang yang membawa enam penumpang termasuk pemandu sebelum sebuah kereta Proton Saga turut melanggar belakang van berkenaan.

Akibat kejadian itu, mangsa berasal dari Kampung Yarong, Pattani, Selatan Thailand bersama dua rakannya tersepit di dalam kereta yang remuk, manakala 10 mangsa lain cedera ringan.

Difahamkan, mangsa meninggal dunia ketika dalam perjalanan bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 7:04 AM