ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan mangsa (gambar kecil) yang tersepit. FOTO Omar Osman
ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan mangsa (gambar kecil) yang tersepit. FOTO Omar Osman
Omar Osman


Sungai Petani: Mualaf lelaki maut selepas kereta dipandu terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelum terjunam dalam longkang di Kilometer 94.7 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Bedong, petang tadi.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Zafree Lee Abdullah, 48, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala, manakala rakan lelakinya berusia 56 tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, mangsa bersama rakannya menaiki kereta dalam perjalanan menuju ke Alor Setar dari arah selatan tetapi kenderaan dipandu Zafree hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian.

Menurutnya, kenderaan itu dipercayai merempuh penghadang jalan di kiri lebuh raya lalu mengelunsur 50 meter dan terjunam ke dalam longkang.

"Akibat itu, kereta terbabit remuk teruk di bahagian depan dan mangsa cedera di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala rakannya yang cedera ringan kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini, untuk rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Mac 2016 @ 8:21 PM