Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang wanita terbunuh. - Foto Ihsan PDRM
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan seorang wanita terbunuh. - Foto Ihsan PDRM
Farah Suhaidah Othman


Kuala Kangsar : Seorang wanita maut manakala dua cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 259.9, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan di sini, malam tadi.

Dalam kemalangan 8.40 malam itu, Chen Nyok Hiong, 49, yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Hyundai Starex maut di tempat kejadian manakala dua lagi penumpang kenderaan itu, seorang lelaki berusia 34 dan seorang wanita 25 tahun, cedera.

Pemandu Hyundai Starex berusia 54 tahun dan seorang lagi penumpang berusia 49 serta seorang pemandu kereta jenis Proton Saga berusia 27 tahun yang turut terbabit dalam kemalangan itu tidak cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Perak Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila MPV berkenaan dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Kuala Lumpur, hilang kawalan sebelum terbabas merempuh pembahagi jalan di kiri lebuh raya.

Katanya, kenderaan itu berpusing beberapa kali sebelum melanggar pembahagi jalan di sebelah kanan pula.

“Kereta Proton Saga yang datang dari arah sama gagal mengelak MPV, turut terbabas dan merempuh pembahagi jalan di sebelah kanan.

“Mangsa yang maut dipercayai tercampak keluar dari Hyundai Starex dan cedera di kepala," katanya di sini, hari ini.

Menurut Wan Jamil, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

"Dua lagi mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 10:09 AM