Barcelona: Pintar, dinamik serta memiliki sepasang kaki yang sangat berbahaya, tidak keterlaluan jika dikatakan Paulo Dybala (gambar) sebagai jelmaan Lionel Messi.

Persamaan yang dimiliki dua penyerang Argentina yang bakal bertemu di suku akhir kedua Liga Juara-Juara apabila Barcelona melayan Juventus pagi esok, pantas disedari rakan sepasukan Dybala, Gonzalo Higuain.

Ketika ini, Argentina sedang mencari ‘Messi baru’ dan bukannya pemain yang mampu menggantikan Diego Maradona.

Beratus-ratus pemain berbakat yang menyarung jersi nombor 10 pernah dilabel sebagai pengganti Maradona tetapi semuanya tenggelam sejak kehadiran Messi.

“Messi adalah yang terbaik, dia membuktikan kehebatannya setiap hari,” kata Higuain yang menyertai Juventus dari Napoli awal musim ini dan dia juga pernah berganding dengan Messi sepanjang 68 penampilannya bersama Argentina.

“Paulo masih muda. Dia baru berusia 23 tahun dan dunia ini berada di kakinya,” katanya.

Dybala memenangi aksi suku akhir pertama minggu lalu menerusi dua jaringan yang membolehkan Juventus mengatasi Barca 3-0.

Bagaimanapun, untuk mengetepikan Barcelona, kelab juara Itali itu perlu mengharungi 90 minit aksi di Camp Nou dan pada sama perlu menghalang tuan rumah daripada mencipta satu lagi kebangkitan.

Kelab Catalan itu mengatasi defisit 0-4 pada perlawanan pertama kelompok 16 pasukan terakhir dengan membenam Paris Saint-Germain 6-1 di perlawanan kedua.

“Ia adalah salah satu malam terbaik dalam karier saya,” kata Dybala selepas tamat suku akhir pertama. “Saya harap ia tidak dirosakkan.”

Pertemuan di Turin minggu lalu adalah kali kedua menyaksikan Dybala dan Messi berkongsi padang sama tetapi berlainan pasukan.

Pada penampilan pertamanya dan berganding dengan Messi di peringkat antarabangsa, dia tidak bernasib baik apabila menerima kad merah.

Dybala gagal menahan air matanya dan terpaksa ditenangkan Messi yang ketika itu bertindak selaku kapten pasukan. Messi menjaringkan gol kemenangan Argentina yang mengatasi Uruguay 1-0 pada kempen kelayakan Piala Dunia, September lalu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 4:53 AM