MVM menghulurkan sumbangan keperluan asas kepada keluarga miskin dan asnaf.
MVM menghulurkan sumbangan keperluan asas kepada keluarga miskin dan asnaf.
ANTARA pertolongan yang dihulurkan.
ANTARA pertolongan yang dihulurkan.
MVM membantu meringankan penderitaan pelarian Syria baru-baru ini.
MVM membantu meringankan penderitaan pelarian Syria baru-baru ini.
Amri Mutalib


Usia muda bukan penghalang bagi ahli Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia (MVM) membantu golongan memerlukan di dalam atau luar negara.

MVM yang ditubuhkan pada Disember 2014 itu menitikberatkan pembangunan sosial secara bersepadu melalui kerjasama dengan masyarakat setempat, rakan kerjasama dan penaja.

Malah, mereka turut membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia Muhammad Jantan, 23, berkata pertubuhan ini membabitkan satu jangka masa panjang dan berteruskan kepada penerima bantuan.

“Sebagai contoh, program di bawah MVM biasanya akan melalui tiga fasa bantuan iaitu bantuan asas, kemahiran, dana perniagaan dan pemantauan ekonomi,”katanya.

Muhammad berkata, aktiviti sukarelawan dan bantuan MVM buat masa ini banyak tertumpu di kawasan Selangor dan Kuala Lumpur.

“Ada juga program MVM akan keluar dari luar Selangor untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Menurutnya, antara program yang pernah dianjurkan sebelum ini adalah Misi Bantuan Mangsa Banjir 2016 di Sarawak dan Misi Bantuan Mangsa Banjir 2014 di Kelantan,.

Katanya, menerusi laman sosial Instagram dan Facebook, kini lebih 50,000 orang berdaftar menjadi sukarelawan di MVM.

“Sebelum ini, saya banyak membabitkan diri dalam aktiviti kebajikan sejak berusia 16 tahun dengan mengikuti dan menganjurkan sendiri program sukarelawan,”katanya.

Selepas memuat naik gambar serta video menerusi laman sosial, ramai pengikut mula meminati dan mendaftarkan diri untuk menjadi sukarelawan.

Keihklasan Rangkul anugerah terhebat

Pada 2016, MVM tersenarai dalam lima Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) terbaik di Malaysia oleh iM4U ketika program Volunteer Malaysia Awards.

Dengan sifat kemurniannya, komuniti ini juga pernah membantu mangsa dari Kem Pelarian Syria di Jordan dan Lubnan serta menguruskan program Ibadah Qurban di Ho Chi Minh, Vietnam.

Ketika bantuan dihulurkan, salah satu kenangan indah yang tidak dapat dilupakan apabila berada di kem pelarian Syria di Jordan dan Lubnan.

Menurutnya, saat memeluk anak Syria di sana, ia bagaikan hilang segala penat dan masalah ketika itu.

“Secara tidak langsung, air mata mula mengalir sebagai tanda kesyukuran kerana dapat membantu anak yang menjadi mangsa kekejaman rejim Assad,”katanya.

Misi terbaru ke Syria

Pada 20 April sehingga 3 Mei ini, MVM akan bergerak dari United Kingdom ke Syria untuk menghantar ambulans ke sana. Misi bantuan ini dijangka melalui lebih tujuh negara selama 13 hari.

MVM sendiri akan menghantar dua ambulans ke Syria melalui sumbangan orang ramai.

Kenapa ambulans? Ini kerana bantuan perubatan ke Syria pada waktu ini sudah menjadi satu keperluan yang mendesak, bukan lagi kehendak.

“Ambulans menjadi sasaran kejam jet rejim, jadi kami bertekad membantu tidak kira apa yang bakal berlaku, misi ini tetap akan teruskan,”katanya.

Untuk misi bantuan ambulans ini, MVM memerlukan RM200,000 bagi membeli ambulans untuk dihantar ke Syria.

Pertubuhan Sukarelawan Muslim Malaysia berhasrat mewujudkan masyarakat yang prihatin selain menjadi komuniti bertanggungjawab untuk membantu dan meringankan penderitaan golongan memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 3:21 AM