MENYAMPAIKAN sumbangan kepada pelarian Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.
MENYAMPAIKAN sumbangan kepada pelarian Rohingya yang ditempatkan di kem pelarian di Cox’s Bazar, Bangladesh.
KEKUATAN persatuan ditunjangi ahli sukarelawan yang komited dan ikhlas membantu.
KEKUATAN persatuan ditunjangi ahli sukarelawan yang komited dan ikhlas membantu.
Zaitie Satibi

Bersandarkan kekuatan 50,000 anggota sukarelawan dari seluruh negara, Muslim Volunteer Malaysia (MVM) terus komited membantu golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang politik, bangsa dan agama di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Ditubuhkan kira-kira tiga tahun lalu, MVM yang berjaya mengembangkan operasinya dalam pelbagai bidang termasuk menghubungkan persatuan bukan kerajaan (NGO) lain dengan kerajaan dan menghantar sukarelawan ke NGO yang memerlukan, tersenarai antara lima NGO terbaik di Malaysia dalam Anugerah Sukarelawan Malaysia (Anugerah Perdana Menteri) anjuran 1Malaysia For Youth (iM4U) pada 2016.

Selain memberi bantuan dalam bentuk tindakan dan penerangan, MVM turut membantu dari segi pembangunan sosial secara bersepadu menerusi kerjasama dengan masyarakat setempat, rakan kerjasama dan penaja.

Berpaksikan slogan ‘Tindakan Hari Ini, Mengubah Masa Depan’, program kelolaan MVM dijalankan secara berfasa seperti transformasi, latihan perniagaan, pemantauan ekonomi dan bantuan dana untuk jangka masa tertentu.

Mengimbas penubuhan MVM, presiden dan pengasasnya, Muhammad Jantan berkata, ia bermula apabila beliau menyertai Misi Solidariti Gaza anjuran Aman Palestin di Palestin pada usia 18 tahun.

“Saya peserta termuda dalam 120 sukarelawan yang menyertai misi berkenaan pada 2012. Namun, saya berdepan kekangan wang untuk membuat pembayaran bagi menyertai misi itu.

“Oleh itu, saya berusaha mengumpulkan dana daripada orang ramai secara dalam talian dengan memuat naik status di laman media sosial. Status saya mendapat perhatian beberapa individu yang sanggup menyumbang kos penyertaan ke Palestin.

“Tersentuh dengan bantuan daripada individu tidak dikenali itu, di samping memegang amanah mereka supaya saya membantu orang lain yang dalam kesusahan mendorong saya menubuhkan NGO sendiri dua tahun kemudian,” katanya.

Muhammad berkata, beliau menubuhkan MVM kerana minat yang mendalam terhadap aktiviti kebajikan dan sudah menyertai banyak kegiatan sukarelawan anjuran pelbagai pihak sejak berusia 16 tahun.

Mengenai program anjuran MVM, Muhammad berkata, ia dibahagikan kepada beberapa segmen seperti berfasa, bermusim, kerjasama korporat atau organisasi lain, bantuan kecemasan dan pendaftaran sukarelawan.

“Program berfasa yang dikenali sebagai Pure Heart dijalankan secara tiga peringkat untuk memberi sedikit keselesaan kepada sejumlah keluarga asnaf terpilih. Dalam fasa pertama, kami berikan bantuan barangan asas, pendidikan dan pek permulaan sekolah.

“Fasa kedua, kami berikan bantuan kemahiran merangkumi latihan kemahiran hidup, pengurusan kewangan, pengisian rohani dan motivasi serta kelas kemahiran asnaf. Ini bertujuan supaya penerima sumbangan boleh menjana pendapatan sendiri dan tidak mengharap bantuan semata-mata.

“Dalam fasa akhir, MVM memberikan bantuan komitmen iaitu memantau ekonomi penerima bantuan yang berjaya mengubah hidup dalam fasa sebelumnya sama ada mereka mampu berdikari atau memerlukan bantuan lanjutan,” katanya.

Satu lagi program berfasa, Di Sebalik Pintu, yang menumpukan kepada satu keluarga asnaf setahun adalah program transformasi khas untuk membantu keluarga asnaf yang berpotensi membuat perubahan dalam kehidupan mereka khususnya melalui perniagaan.

“Di Sebalik Pintu membolehkan penerimanya mendapat barangan asas dan transformasi dekorasi kediaman dalam fasa pertama, berikutnya mereka diberi latihan perniagaan dan motivasi sebelum dibekalkan modal untuk berniaga yang di bawah pemantauan kami.

“Dalam program bermusim, bantuan diberikan pada musim perayaan atau sambutan hari tertentu. Bagi program bersama korporat, kami membantu graduan yang masih belum mempunyai pekerjaan tetap untuk mendalami ilmu perniagaan secara teori dan praktikal serta strategi pemasaran dengan tajaan syarikat swasta.

“Bantuan kecemasan pula diberikan kepada mangsa bencana alam dan penghantaran bantuan kemanusiaan dalam bentuk bantuan perubatan, bantuan bukan makan serta bantuan makanan kepada rakyat Syria dan Rohingya yang berdepan konflik di negara mereka,” katanya.

Muhammad berkata, pihaknya turut membuka pendaftaran baru menerusi laman sesawang www.mvm.org.my yang membolehkan orang ramai menyertai NGO berkenaan sebagai sukarelawan, di samping individu yang ingin menyumbang wang atau barangan.

“Maklumat mengenai aktiviti kami turut boleh dilayari menerusi laman sosial dengan kata kunci, Muslim Volunteer Malaysia-MVM. Malah, kami juga menubuhkan agensi kemanusiaan, Volunteering Trip Malaysia Association (VTM) bagi memantapkan lagi kegiatan kebajikan.

“VTM secara asasnya mempunyai misi yang sama seperti MVM, namun ia memberi bantuan dalam bentuk tindakan dan penerangan menerusi aktiviti kembara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Februari 2018 @ 3:21 AM